Presiden Mesir: Tentera perlu hormati rakyat

KAHERAH – Mohammed Mursi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir semalam dengan menegaskan – pihak tentera harus menghormati kehendak rakyat dengan kembali ke “berek” dan peranan atau fungsi asal mereka iaitu menjaga “sempadan negara.”

Pada masa yang sama beliau mahu pertumpahan darah di Syria, yang berlarutan lebih 16 bulan, dihentikan dengan segera dan membela nasib rakyat Palestin.

Majlis angkat sumpah itu, yang diadakan petang semalam (waktu Malaysia), memperlihatkan pergerakan Ikhwanul Muslimin menguasai kepimpinan negara selepas perjuangan selama 84 tahun sementara pihak tentera pula mahu kekal berpengaruh.

“Kita mahu hari esok yang lebih baik, sebuah Mesir dan kedua, sebuah republik,”: kata Mohammed.

Beliau muncul sebagai presiden Islam yang pertama dipilih di dunia Arab dan ketua negara yang kelima bagi Mesir sejak kuasa diraja ditumbangkan enam dekad yang lalu.

Dalam ucapan pertama di Cairo University selepas majlis mengangkat sumpah, Mohammed berkata, Mesir tidak akan berpatah balik dalam perjuangan demokrasi selepas kejatuhan Hosni Mubarak.

Presiden itu juga menekankan tentang dasar seluruh Arab dan melahirkan sokongan kepada Palestin sehingga mereka memperoleh hak mereka dan pada masa yang sama, [ertumbahan darah di Syria dihentikan.

“Saya mengumumkan dari sini bahawa Mesir, rakyatnya dan institusi presiden berdiri bersama rakyat Palestin sehingga mereka memperoleh balik hak mereka.

“Kami sokong rakyat Syria. Kami mahu pertumpahan darah dihentikan,” kata beliau.

Mohamed mengucapkan terima kasih kepada tentera yang menyelia pilihan raya presiden, tetapi berulang kali menekankan tentang “parlimen yang dipilih” dalam ucapannya.

“Badan-badan yang diplih akan meneruskan fungsi mereka dan tentera akan kembali ke berek masing-masing, kepada peranan asasl mereka mempertahankan sempadan,” kata Mohammed yang dilihat menyampaikan mesej yang jelas kepada pemimpin tentera Fil Marshal Hussein Tantawi yang turut menghadiri majlis di pusat pengajian tinggi itu.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview