151112061PresidenMynmarThein Sein bersama Ketua Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi atas kemenangan parti pimpinannya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pada pilihan raya negara ini Ahad lalu.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Thein Sein berkata, “Kami mahu mengucapkan tahniah” kepada Suu Kyi kerana “berjaya memenangi sokongan rakyat.”

Myanmar telah dikuasai junta tentera selama setengah abad, dan sejak 2011 sebuah kerajaan campuran mula dibentuk.

Pada pilihan raya umum Ahad lalu, NLD berjaya memenangi 85 peratus kerusi Parlimen yang diumumkan setakat ini.

“Sebagai sebuah kerajaan, kami akan menghormati dan mematuhi keputusan pilihan raya itu dan akan memindahkan kuasa secara aman,” katanya.

Parti NLD memenangi 256 kerusi, kurang 70 kerusi untuk mencatat kemenangan majoriti. Namun, parti itu hampir pasti melepasi angka tersebut dengan keputusan rasmi diumumkan esok.

Suu Kyi, hari ini menggesa supaya diadakan satu rundingan perdamaian kebangsaan bersama Thein Sein, Min Aung Hlaing dengan menekankan tentang pentingnya peralihan kuasa di negara ini dilakukan secara aman dan lancar.

Speaker Dewan Rendah, Shwe Mann, seorang bekas jeneral yang disebut-sebut sebagai calon yang akan dinamakan sebagai Presiden sebelum ini, turut bersetuju untuk menyertai rundingan itu. – AFP