Presiden UMNO Baharu Di Harap Mainkan Peranan Sebagai Pemantau

TASEK GELUGOR, 1 Julai  — Parti Amanah Negara (Amanah) berharap Presiden baharu UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dipilih semalam, dapat memainkan peranan sebagai pemantau kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata Zahid merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman dan diharapkan beliau dapat memainkan peranan sebagai pemimpin untuk ‘semak dan imbang’ kepada  kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dengan menghidupkan fahaman demokrasi, beliau dan parti boleh menegur kalau ada mana-mana yang mereka lihat ada kepincangan dan ketidaksesuaian ketika Pakatan Harapan memerintah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah Pulau Pinang di Sungai Dua sini hari ini.

Beliau juga mengharapkan agar UMNO dapat memainkan tanggungjawab mereka sebaik mungkin sebagai sebagai pembangkang di Parlimen.

Semalam, Ahmad Zahid berjaya memenangi kerusi Presiden UMNO dengan memperoleh 93 undi untuk mengatasi dua pesaingnya iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO , Khairy Jamaluddin (51 undi) dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (23 undi).

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata partinya menerima banyak permohonan  termasuk daripada pemimpin parti lain selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menjadi anggota  Amanah.

Katanya, pemohonan untuk menyertai Amanah itu juga termasuk beberapa pemimpin daripada parti UMNO dan beliau perlu masa untuk membuat perbincangan sebelum meluluskan permohonan mereka.

“Setakat ini, kami boleh menerima terus kalau terdapat ahli biasa UMNO yang menyertai Amanah tetapi kalau peringkat kepimpinan yang ingin menyertai, kami perlu membuat perbincangan terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan mereka,” katanya.

Tambahnya, beliau hanya akan mendedahkan identiti pemimpin terbabit selepas pemohonan mereka sudah diterima untuk menyertai Amanah.

Terdahulu, hampir 5,000 tetamu membanjiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah Pulau Pinang termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan kepimpinan Pakatan Harapan; gabungan PKR, Bersatu, DAP dan Amanah, peringkat negeri.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview