PRK DUN Sg Kandis: Nama Calon Sudah Ada – MB Selangor

 SHAH ALAM, 5 Julai  — Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata beliau sudah mempunyai senarai nama calon yang difikirkan berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis yang akan ditentukan kelak selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei awal minggu ini.

Amirudin berkata sebagai menteri besar, beliau mempunyai keistimewaan  untuk menamakan calon sesuai bagi PRK itu kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ia diangkat ke peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan.

“Dalam kepala saya ada (senarai calon)…cuma perlu sampaikan kepada pucuk pimpinan PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Manandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dengan empat buah institusi yang disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini, hari ini.

Amirudin bagaimanapun enggan mendedahkan  identiti calon dan bila nama itu akan dihantar ke pucuk pimpinan parti.

Mat Shuhaimi, 50, yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi Isnin lepas akibat kanser limfoma.  

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya sudah memuktamadkan senarai nama anggota majlis peringkat pihak berkuasa tempatan baharu di negeri itu dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Dalam majlis hari ini, YRMS menjalin kerjasama dengan Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre.

Menerusi kerjasama strategik bersama empat institusi itu, sejumlah 660 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bakal mendapat peluang tajaan YRMS untuk memulakan latihan kemahiran mereka.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview