Produk Rasmi SUKMA Di Jual Di Kedai Al-Ikhsan Seluruh Negara

IPOH, 15 Ogos  — Sebanyak 26 produk rasmi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 akan dijual di 60 cawangan kedai Al-Ikhsan Sports di seluruh negara. 

Ketua pemasarannya, Mizal Ghazali berkata produk rasmi Sukma antaranya pakaian berjenama Al-Sports, topi, beg, serta cenderamata itu dijual di Al-Ikhsan Ipoh Parade mulai hari ini, manakala di cawangan lain bermula 30 Ogos.

“Peminat juga boleh membeli produk Sukma secara dalam talian di laman Shopee mulai 1 Sept dengan melayari www.shopee.com.my/ALsports,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran penaja rasmi Sukma 2018 Perak di sini hari ini, yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mewakili Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Mizal berkata produk itu juga boleh didapati di venue Sukma termasuk di Stadium Perak di sini, sepanjang temasya sukan itu berlangsung.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain berkata penaja utama adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Al-Ikhsan dan Tan Chong Group.

Beliau berkata penaja rasmi lain termasuk Sanyu Sdn Bhd, Rizzs Trading Sdn Bhd, Asia Pasific Sports Sdn Bhd, Empayar Indera Sdn Bhd, KL Teh Land & Development Sdn Bhd, Petronas dan Milo.

“Turut menaja pada Sukma kali ini ialah Palace Vacation Club, Oratis RX Sdn Bhd, GB Kuari, Axiata Digital Ecode Sdn Bhd dan F & Beverages Marketing Sdn Bhd,” katanya sambil menambah jumlah penajaan adalah lebih RM10 juta.

Hasnul Zulkarnain berkata kerajaan negeri berharap dengan sokongan yang diberikan pihak penaja dalam melancarkan kelangsungan temasya itu akan dapat memberi kesan secara tidak langsung kepada sukan tempatan.

Sukma ke-19 akan berlangsung dari 12 hingga 22 Sept melibatkan 29 jenis sukan dan 427 acara di 39 venue di kesemua 12 daerah seluruh Perak.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview