Program Kebajikan Untuk Semua Di Selangor Sekiranya BN Kembali Berkuasa

SHAH ALAM, 10 Sept — Program kebajikan di Selangor akan dilaksanakan tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13, kata Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata program kebajikan yang dijalankan di Selangor di bawah kerajaan pakatan pembangkang sekarang tidak menyeluruh dan banyak aduan diterima mengenai unsur pilih kasih dalam pelaksanaan program, misalnya skim warga emas dan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Peruntukan untuk skim kenaikan gaji guru kelas asas fardu ain (Kafa) pula sebenarnya diperoleh daripada kerajaan pusat, katanya.

“Apabila kerajaan BN khususnya di negeri Selangor menjalankan program kebajikan, kami tidak ada unsur pilih bulu kerana kami berpegang kepada prinsip bantuan untuk semua warganegara yang layak, bukan mengira fahaman politik, bangsa, dan agama,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zin turut membidas kerajaan negeri Selangor kerana gagal menjalankan program kebajikan dengan telus dan adil.

Sebagai contoh, katanya sehingga kini, terdapat 12 pangsapuri kos rendah di negeri ini yang masih belum menikmati air percuma.

Sementara itu, penduduk di sini yang dihubungi meluahkan rasa kesal kerana sejak kerajaan pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, kebajikan mereka tidak lagi terjamin, malah ada yang mendakwa dipinggirkan kerana berbeza fahaman politik.

Sabariah Kasan 54, mendakwa tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan pakatan pembangkang, sebaliknya wakil BN yang datang ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan setiap kali tiba bulan Ramadan atau musim persekolahan.

“Memang semenjak dulu saya tak pernah nampak kelibat wakil daripada pakatan pembangkang, malah siapa wakil mereka di sini pun saya tak kenal.

“Dengan keadaan kesihatan saya sekarang saya tidak boleh banyak bergerak dan saya tidak keluar rumah. Selalunya wakil BN yang prihatin yang datang ke rumah saya hulurkan bantuan,” katanya.

Bagi penduduk di Felda Bukit Cherakah, Kapar Klang pula, tiada apa yang diharapkan selain geran tanah tapak rumah rumah masing-masing.

Penduduk mendakwa setelah ladang sawit mereka dijual kepada pemaju pada tahun 1996, mereka tidak pernah menerima geran tapak rumah seperti yang dijanjikan malah ramai penduduk yang telah berpindah ke kawasan lain.

Salina Saharoodin, anak bekas peneroka Felda di kawasan itu menyatakan rasa bimbang terhadap masa depan keluarganya kerana tapak rumah yang mereka duduki sekarang tidak mempunyai geran.

“Dulu ketika berkempen, pakatan pembangkang menjanjikan geran tanah kepada penduduk namun sehingga kini janji tinggal janji dan setelah menang tiada apa yang mereka lakukan untuk membela nasib kami,” katanya dalam nada kesal. -Bernama

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview