Projek Beri Manfaat Kepada Rakyat Akan Diteruskan – Amiruddin

KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Kerajaan memberi jaminan projek kecil yang membawa manfaat kepada rakyat dan memberi kesan kepada ekonomi akan diteruskan dan ia tidak terjejas walaupun berlakunya pertukaran kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Menurutnya, semua projek yang bernilai kurang daripada RM10 juta, di mana surat setuju terima telah dikeluarkan akan diteruskan, dan hanya projek yang bernilai lebih daripada RM10 juta dengan kemajuan fizikalnya kurang daripada 15 peratus akan dikaji.

“Dengan itu, kontraktor kecil ataupun projek kecil tidak terlibat. Jadi pendekatan Kementerian Kewangan adalah untuk memastikan bahawa hanya projek kritikal dan mesra rakyat akan kita teruskan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Amiruddin berkata ketelusan perolehan secara tender adalah bagi memastikan kerajaan mendapat nilai berbaloi bagi setiap projek yang di jalankan.

Sementara itu, katanya, projek di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) bakal diteruskan demi memastikan ekonomi dapat dikembangkan dan rakyat mendapat manfaat.

Menurutnya, jumlah pelaburan oleh IRDA sejak 2006 hingga 2018 berjumlah RM153.54 bilion dan telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 746,457 orang.

Mengulas mengenai pertindihan fungsi antara agensi di bawah Kementerian Kewangan, Amiruddin berkata kementeriannya akan membuat penyusunan semula tugas agensi-agensi termasuk misi perdagangan yang mana ia akan di ambil kira dalam belanjawan 2019 akan datang.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview