Projek ECRL Pencetus Perubahan Bagi Malaysia – Najib

KUANTAN, 9 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

Beliau berkata perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang daripada empat jam berbanding purata lapan jam malahan hingga 12 jam atau lebih semasa musim perayaan , menjadikan ECRL medium pengangkutan pilihan yang lebih selesa sebaik ia siap dibina.

“Projek ECRL juga akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi dan impak sosial yang positif bagi negeri-negeri di pantai timur. Ia akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan pendidikan berkualiti dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucaptama semasa majlis pecah tanah projek ECRL di tapak projek KotaSas Sentral di sini hari ini, yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan tiga Menteri Besar negeri-negeri pantai timur Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan).

PM Najib bersalaman dengan Kaunselor Negara China, Wan Yang selepas majlis pecah tanah projek ECRL

Najib turut menarik perhatian bahawa ECRL akan menjadi projek laluan rel negara yang paling panjang sejauh 688 kilometer dengan kos berjumlah RM55 billion dan akan dibina oleh CCCC, yang merupakan satu daripada kumpulan infrastruktur pengangkutan ternama dan tersenarai sebagai kontraktor antarabangsa ketiga paling terkemuka di dunia sementara MRL sebagai pemilik projek.

Malaysia turut mendapat syarat pembiayaan menarik untuk ECRL dengan 85 peratus daripada projek itu dibiayai melalui pinjaman mudah 3.25 peratus daripada China Exim Bank, dengan tempoh moratorium tujuh tahun sementara 15 peratus lagi dibiayai melalui program sukuk yang diuruskan oleh bank-bank pelaburan tempatan, katanya.

Najib juga menegaskan bahawa kerajaan telah menggariskan kepentingan Malaysia dalam projek itu termasuk menerusi satu perjanjian dengan China bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia akan terlibat dlam projek berimpak tinggi ini sementara program latihan industri ECRL yang dilancarkan pada 14 Jun, akan memberikan peluang kepada pelajar Malaysia menimba kemahiran untuk bekerja dengan ECRL.

“Oleh tu saya menggesa para kontraktor tempatan dengan keupayaan dan pengetahuan mereka supaya merebut peluang ini dan menyertai projek penting ini yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Kita merancang untuk melibatkan 3,600 pelajar Malaysia di bawah program latihan yang memberi peluang mereka dilatih mengikut sukatan pelajaran yang disediakan oleh dua universiti terkemuka China dan sembilan institut pendidikan tinggi Malaysia.

“Pendapatan daripada operasi ECRL diunjurkan akan didapatkan melalui nisbah pengangkutan 30 peratus penumpang dan 70 peratus barang,” katanya.

Perdana menteri juga menganggap pembangunan ECRL sebagai tepat pada masanya selaras dengan pembesaran Pelabuhan Kuantan sekarang untuk menjadi terminal laut dalam yang tidak lama lagi akan mampu menampung kemasukan kapal lebih besar sehingga 200,000 tan berat muatan atau kapal yang boleh membawa 18,000 unit dua puluh kaki kontena.

Justeru dengan pelbagai kelebihan yang dapat dimanfaatkan daripada ECRL, Najib menyatakan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang cuba menjejaskan projek ECRL ini dan beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan ECRL berjaya siap menjelang 2024 seperti yang dijanjikan.

“Kepimpinan pusat turut berbesar hati dengan kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor atas kerjasama penuh mereka serta sokongan terhadap projek ini, terutama dalam perkara berkaitan pemilikan tanah yang amat penting kepada pembinaan rangkaian laluan rel baharu ini.

“Perjalanan telah bermula dan ECRL setelah siap akam membawa kita ke arah pencapaian aspirasi negara. Oleh itu saya memohon sokongan, kerjasama, pengetahuan dan kepakaran bersama semua pihak berkepentingan dalam ECRL bagi memastikan penyampaian lancar dan berjaya projek rel ini,” katanya. -Bernama