Projek Pemulihan Sungai Segget Bakal Ubah Wajah Pusat Bandar

JOHOR BAHRU, 10 Ogos — Projek Pemulihan Sungai Segget adalah satu daripada inisiatif penting di bawah Pelan Transformasi Johor Bahru (JBT) bertujuan menjadikan Pusat Bandar Johor Bahru sebagai bandar warisan dan budaya yang bertenaga.

Pelan JBT dilaksanakan dengan objektif merevitalisasi Johor Bahru, sebagai ibu negeri Johor, dengan menyediakan antara lain aktiviti ekonomi yang berdaya maju dan kemudahan yang selaras dengan wawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Ketua Jabatan Perancangan dan Pematuhan IRDA, Maimunah Jaffar berkata projek Pemulihan Sungai Segget kini memasuki fasa ketiga melibatkan landskap dan pengindahan bertujuan mengembalikan nadi Sungai Segget sebagai salah satu destinasi utama pelancongan Johor.

“Rekabentuk landskap Segget yang dicadangkan adalah rekabentuk berasaskan komuniti dan kita telah mengadakan tujuh siri keterlibatan dengan komuniti antara 2016 dan 2017. Keterlibatan akhir akan diadakan  pada 16 dan 21 Ogos sempena inisiatif pimpinan komuniti yang diketuai oleh Dr Sharifah Salwa dari UTM.

“Kami berharap dapat memuktamadkan reka bentuk sebelum akhir tahun ini supaya kerja pembinaan boleh bermula,” kata beliau pada sidang media selepas taklimat media mengenai Fasa 3 Projek Pemulihan Sungai Segget di sini hari ini.

“Reka bentuk landskap dan pengindahan juga akan mengambil kira elemen warisan, budaya dan rekreasi secara holistik. Apabila siap, orang ramai dapat menikmati landskap Sungai Segget yang menarik dan interaktif yang sesuai untuk tujuan rekreasi untuk semua peringkat umur, mentransformasinya menjadi nadi pusat bandaraya Johor Bahru.

“Tiga zon konsep dicadangkan dalam landskap iaitu Zon Sejarah dan Warisan, Zon Kebudayaan dan Seni, serta Zon Ceria dan Santai. IRDA akan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai reka bentuk landskap Segget,” kata beliau.

Projek Pemulihan Sungai Segget melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air Bersepadu, sistem Tebatan Banjir dan sistem Pembetungan yang akan meningkatan kualiti air sungai dan kualiti udara kawasan sekitarnya.

Projek ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kerana impak besar ekonomi dan sosial kepada komuniti persekaran dan perniagaan.

Sejak 2010, IRDA dan MBJB telah bekerjasama rapat bagi melaksanakan Pelan JBT dan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Bersama yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar MBJB untuk memantau perkembangan projek.

Berita Berkaitan