Proton Turun Harga Kereta Sempena Raya, Sokong Tabung Harapan

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Rakyat Malaysia kini boleh memiliki Proton Saga pada harga kurang daripada RM30,000 bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini manakala dalam masa yang sama dapat turut menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, ini adalah tawaran kereta terbaik yang pernah ditawarkan dalam tempoh 10 tahun lepas dan sejumlah RM10 daripada setiap pembelian kereta akan didermakan kepada tabung kerajaan itu yang akan berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 31 Dis, 2018.

“Sebagai sebuah organisasi korporat nasional yang prihatin, Proton merasakan perlu untuk tampil kehadapan menyediakan bantuan tambahan ke arah tujuan baik itu, bagi negara dan rakyat Malaysia,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Proton Saga, harga model-model lain seperti Iriz dan Ertiga juga akan diturunkan sebanyak RM4,000 dan Persona sebanyak RM3,000.

Tawaran harga rendah itu adalah selain daripada cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar yang membawa kepada penurunan harga antara 12 dan 18 peratus bergantung kepada model kereta.

Proton juga akan menawarkan 20 pusat pemeriksaan percuma di semua cawangannya di seluruh negara bermula hari ini sehingga 15 Jun, yang merangkumi bahagian seperti pedal brek dan klac, lampu dan lampu isyarat, tali pinggang keselamatan, pemeriksaan bateri dan lain-lain. -Bernama

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview