image-3Pulau dengan keluasan kira-kira 32 hektar itu akan dikendalikan Maj­lis Daerah Tangkak (MDT) di mana ia melibatkan kemudahan asas di Kampung Durian Chondong yang menghubungkannya dengan Pulau Durian Chondong.

Yang Dipertua MDT, Mohd. Masni Wakiman berkata, naik taraf jeti dan tempat letak kenderaan akan dilakukan di Kampung Durian Chondong selain tandas awam yang selesa untuk kegunaan pengunjung.

“Di bahagian pulau pula akan dibina antaranya jeti, tandas, dataran, kawasan berkhemah dan laluan pejalan kaki. Namun pembinaan akan diminimumkan untuk menjaga alam sekitar pulau yang terletak pada jarak lima minit dari Kampung Durian Chondong ini.

“Pulau Durian Chondong mempunyai pelbagai keistimewaan sendiri, kaya dengan keindahan alam semulajadi flora dan fauna,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDT dengan Habrisalam Architect, pemaju yang membangunkan pulau itu.

MDT diwakili Mohd. Masni manakala Habrisalam Architect diwakili Prinsipalnya, Habri Salam dan MoU itu disaksikan Pengarah Majlis Pembangunan Pelancongan Parlimen Pagoh (MPPPP), Mohd. Solihan Badri dan Setiausaha MDT, Nazri Izuddin Madon.

Mohd. Hasni berkata, antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah berkayak, berkhemah dan meman­cing kerana terdapat banyak habitat udang galah dan ikan baung.

“Penduduk setempat akan menyediakan kemudahan inap desa dan perkhidmatan bot kepada pelancong. Pelancong boleh mani­ki bot mengelilingi pulau itu de­ngan masa kira-kira 40 minit untuk menikmati keindahan dan keunikannya yang tidak terdapat di tempat lain,” ujarnya lagi. – Utusan