Pulau Pinang lancar video ‘Penang Cun

GEORGE TOWN,  22 Mac  — Kerajaan Pulau Pinang hari ini melancarkan video rasmi kempen pelancongan negeri dengan slogan baharu ‘Penang Cun’ yang akan digunakan dalam semua promosi sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT) Ooi Chok Yan berkata kempen jangka panjang tersebut akan dilaksanakan oleh PGT sehingga 2021.

 Video ini menampilkan semua aspek kepelbagaian Pulau Pinang termasuk keindahan alam semula jadinya seperti pantai dan bukit-bukau, katanya pada sidang media bersempena pelancaran video tersebut, di sini.

PGT merupakan agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam mempromosikan  pelancongan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ooi berkata video itu juga mengetengahkan gaya hidup setempat, tapak warisan Unesco, seni jalanan serta tarikan baharu seperti The Habitat di Bukit Bendera, The Top di Komtar dan Escape’s Waterplay di Teluk Bahang selain festival yang berlangsung di negeri tersebut.

“Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri yang merekodkan prestasi baik setiap tahun. Tahun lepas aliran  penumpang di Lapangan Terbang Pulau Pinang mencatatkan angka tertinggi setakat ini pada 7.2 juta,  iaitu peningkatan lapan peratus berbanding 6.7 juta penumpang pada 2016.

“Dari segi trafik antarabangsa, Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 11 peratus tahun lepas berbanding tahun 2016,? katanya.

Perkataan ‘cun’ merupakan slanga tempatan yang lazimnya digunakan bagi menggambarkan kecantikan seseorang namun dalam konteks kempen pelancongan ini  perkataan itu merangkumi aspek-aspek keindahan alam dan juga keseronokan serta kepuasan pelawat ketika mengunjungi negeri berkenaan.  

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview