Pulihkan UMNO Proses Berat – Khaled

JOHOR BAHRU, 1 Julai — Naib Presiden UMNO yang baharu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui usaha memulih dan mengembalikan kekuatan serta kredibiliti parti itu adalah satu proses yang berat dan mencabar.

Bagaimanapun, beliau yakin berbekalkan semangat dan dukungan semua pihak, UMNO akan dapat dipulihkan selayaknya.

Malah beliau juga bertekad memberikan fokus memastikan segala komitmen dan iltizam yang dizahirkan sepanjang kempen pemilihan sebelum ini akan dilaksanakan dengan baik dan sewajarnya.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan dan Bahagian UMNO yang telah memilih saya sebagai naib presiden  UMNO bagi penggal 2018-2021. Ini merupakan satu amanah dan kepercayaan yang akan saya pikul dengan penuh etika, kesungguhan dan rasa tanggungjawab.

“Saya memohon kerjasama semua pihak di dalam dan luar parti untuk memberikan sepenuh sokongan, kerjasama serta mendoakan agar perjalanan dan usaha memulihkan UMNO dan mengembalikan kekuatan serta kredibilitinya akan berjalan dengan lancar dan berjaya,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Pemilihan UMNO  bagi penggal 2018-2021 semalam menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden UMNO yang baharu, sementara, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan terpilih untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Selain Khaled, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid memenangi jawatan Naib Presiden UMNO.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview