Rakyat Berhak Tentukan Pemimpin Dan Kerajaan Melalui Pilihanraya

Wilayah Persekutuan Labuan:  Rakyat berhak memilih pemimpin dan kerajaan yang mereka kehendaki tanpa sebarang paksaan dan ugutan samaada melalui kekerasan fizikal,mental dan emosional.

 

Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata sesuai dengan sistem serta amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini, maka setiap lima tahun sekali diadakan pilihanraya bagi memberikan peluang kepada rakyat memilih serta menentukan pemimpin dan kerajaan yang akan mewakili mereka.

 

” Bagaimanapun bagaimana kita boleh memperkatakan soal hak dan demokrasi, jika setiap kali pilihanraya kita tidak menggunakan hak kita sebagai pengundi dan yang lebih rugi bagi mereka yang mencukupi syarat umur tidak mendaftar sebagai pengundi yang sah” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan lebih dari 500 orang  para pengundi dari kawasan Parlimen Beufort di kampung Bukit Kuda dekat sini malam kemarin.

 

Sehubungan dengan itu Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata,  bagi mereka yang layak mendaftar sebagai pemilih  perlu mendaftar sebagai pengundi yang sah tidak hanya sekadar bertindak sebagai penganalisis politik di kedai kopi di media cetak dan elektronik termasuk Halaman Sosial dalam menyuarakan sokongan dan rasa ketidakpuasan mereka kepada pemimpin dan kerajaan .

 

” Apabila kita mendaftar sebagai pemilih yang sah itulah hak kita yang sebenarnya dan menterjemahkan sokongan kita dengan keluar mengundi semasa pilihanraya umum diadakan” tambah Lajim

 

Tambah Lajim .parti dan pemimpin politik boleh berubah dan kadangkala tidak konsisten dalam perjuangan. Namun sebagai rakyat, yang harus kita perjuangkan dengan jelas ialah nilai-nilai yang baik seperti keadilan, kebebasan kesetaraan dan kedaulatan hak-hak asasi manusia.

 

” Sepertimana memilih kekasih, sememangnya kita tahu dia tidak sempurna. Memang kita tahu benar cacat celanya di mana, tapi kita pilih dia juga kerana ada sesetengah keperibadian dirinya yang kita suka. Pada yang lain, walau wajahnya bercahaya bak bulan purnama, walau kata-kata yang keluar dari mulutnya indah bak puisi, namun mungkin ada sikap dan sifat mereka yang kita tidak suka:”katanya.

 

Bagaimanapun menurut Lajim rakyat pada ketika ini lebih rasional dan berfikiran terbuka dalam membuat pilihan bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang mereka sukai berdasarkan kepada penailian terhadap peranan, sumbangan dan wawasan yang dimainkan dalam menjana kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya

 

” Rakyat berhak untuk memilih parti dan calon yang disokongnya. Itu hak asas yang tidak boleh dirampas.  Baik yang menyokong kerajaan atau

pembangkang mereka   pastinya  telah membuat pilihan atas pertimbangan masing-masing” tambah Lajim.

 

Sehubungan dengan itu beliau turut meminta bagi pengundi yang berasal dari Tanah Besar Sabah agar balik ke kawasan masing-masing dimana mereka mendaftar sebagai pemiliih semasa pilihanraya umum ke 13 akan datang bagi menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.

 

” Anggaplah pilihanraya dan mengundi sebagai satu tanggungjawab dan amanah kepada kita bagi menentukan masa depan negara” katanya

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview