Renjer Hutan APM ‘Mata Dan Telinga’ Jabatan Hutan Pahang

BENTONG, 28 Feb – Renjer Hutan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang akan berkhidmat sebagai ‘mata dan telinga’ kepada Jabatan Perhutanan untuk membanteras penerokaan hutan secara haram di negeri ini.

16996472_1493316244054397_3843072589210505082_nMenteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sebagai permulaan pihaknya menyasarkan penyertaan 1,000 anggota, terdiri daripada penduduk sekitar yang mahu turut serta memulihara alam sekitar.

Katanya pemilihan Pahang sebagai negeri untuk melaksanakan semula renjer hutan APM adalah ekoran masalah penerokaan hutan yang semakin berleluasa di negeri ini, di samping mendapat sokongan penuh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

“Kawasan yang akan diberi tumpuan ialah Janda Baik dan Genting Highlands yang banyak diteroka oleh warga asing termasuk atas alasan pertanian.

“Ini tidak boleh dibiarkan kerana penduduk kita di sini juga susah untuk mendapat tanah tapi mereka sesuka hati meneroka tanah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Renjer Hutan APM Pahang di Balai Raya Janda Baik di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya.

Shahidan juga menjelaskan bahawa renjer hutan APM tidak akan melangkau kuasa jabatan hutan, sebaliknya hanya sebagai ‘pengawal sepanjang masa’ kepada laluan masuk ke kawasan hutan dan memantau sebarang aktiviti yang mencurigakan di situ.

Beliau menarik perhatian bahawa renjer hutan bukan perkara baharu kepada APM kerana pasukan itu pernah ditubuhkan di Perlis pada sekitar tahun 90-an, namun semakin suram sejak kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, kita mengaktifkan semula peranan renjer hutan kerana APM sentiasa bersedia untuk membantu agensi penguat kuasa menjalankan tugas, khususnya kepada agensi yang mengalami kekangan anggota,” katanya.

Shahidan turut mendedahkan ada pihak yang berkenaan meneroka hutan dengan menggunakan alasan pelaksanaan beberapa projek seperti Ikan Sturgeon sedangkan projek itu telah lama dibatalkan.

“Ada yang beri maklumat kata buat projek, sedangkan masih belum dilaksana atau diluluskan, tetapi sudah ditebang balaknya. Ada beberapa aduan yang saya terima berkaitan hal ini,” katanya.

Berita Berkaitan