Ronnie nafi pusat urut, hiburan punca masalah sosial Selangor

SHAH ALAM 11 Julai – Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu menolak alasan kewujudan rumah urut dan pusat hiburan sebagai penyumbang kepada masalah sosial di Selangor.

Sebaliknya, beliau menyatakan masalah sosial yang membabitkan aktiviti berkenaan adalah isu penguatkuasaan yang memerlukan operasi bersepadu yang harus dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Itu (masalah sosial) isu penguatkuasaan. saya harap PBT buat operasi bersepadu. Ada orang dapat lesen (pusat urut, hiburan dan hotel bajet) yang ada, tapi buat aktiviti lain pula,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Warno Dogol (BN-Sabak) yang mahu supaya kerajaan negeri tidak mengeluarkan lesen pusat urut di negeri ini.

Menurut Warno, sejak kerajaan negeri mentadbir Selangor, beliau menerima aduan daripada masyarakat Cina dan Melayu yang mahu supaya rumah urut ditutup susulan daripada kejadian penceraian dan sebagainya.

Terdahulu, Ronnie ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Warno mengenai rumah urut dan pusat hiburan mengikut kawasan pentadbiran PBT di Selangor memberitahu pada masa ini terdapat 571 buah rumah dan 775 pusat hiburan yang beroperasi di negeri ini.

Beliau memberitahu pengeluaran lesen rumah urut sudah tidak lagi dikeluarkan sejak 2006.

Namun, beliau menyatakan kerajaan negeri pada masa ini hanya meluluskan lesen pusat kesihatan dan kecantikan di bawah PBT.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview