Saya Berjuang Sehingga Tamat Permainan – Rafiq

PALEMBANG, 27 Ogos — Juara boling Masters Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Muhammad Rafiq Ismail berkata kejayaannya memenangi pingat emas bersejarah buat Malaysia hari ini kerana beliau memilih untuk berjuang tanpa berputus asa sehingga tamat permainan.   

Biarpun ketinggalan 21 pin dalam perlawanan pertama final stepladder, pemain boling berusia 21 tahun itu bangkit kembali dengan tenang dalam pertarungan yang penuh debaran untuk menewaskan juara bertahan Park Jong-woo dari Korea Selatan 534-511 selepas perlawanan kedua dan menghantar pulang Park dengan pingat perak buat kali ini. 

“Tidak terkata, saya tidak menjangka untuk memenangi emas.  Saya beritahu diri sendiri kami ada lagi perlawanan, walaupun dia (Park) meninggalkan saya agak jauh, tetapi saya terus mengingatkan diri saya apa-apa pun boleh berlaku.

Saya berdoa kepada Tuhan supaya saya boleh menang dan berjuang sehingga ke penamat, dan akhirnya saya melakukannya,” beliau memberitahu Bernama selepas upacara penyampaian pingat di Pusat Boling Jakabaring di sini hari ini. 

Menyertai Sukan Asia buat julung kalinya, anak kelahiran Ampang ini muncul sebagai atlet pertama  Malaysia memenangi acara Masters Lelaki di Sukan Asia.  Pencapaian terbaik skuad boling negara sebelum ini ialah menerusi Alex Liew yang menduduki tempat kelima  dalam edisi 2006 di Doha, Qatar dan 2010 di Guangzhou, China.

Mengulas lanjut, pemain boling kidal itu mahu mendedikasikan kemenangan itu kepada ibu bapanya, Zaiton Abd Ghani dan Ismail Nimat, jurulatih Holloway Cheah dan Ben Heng Boon Hian dan juga rakyat Malaysia.  

“Tanpa sokongan daripada ibu bapa, keluarga, sahabat, rakan sepasukan dan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) yang selalu menyokong saya, saya tidak dapat emas ini,” katanya.

Sementara itu, Holloway hanya memuji semangat juang Muhammad Rafiq untuk merangkul emas. 

“Ini sangat hebat, beliau adalah istimewa … dalam keadaan seperti itu, beliau bangkit kembali dan menewaskan atlet Korea itu. Saya amat bangga dengan beliau, beliau sangat bagus.

Jong-woo adalah pemain kelas dunia, bukan mudah untuk menewaskan beliau,” katanya.

Pada hari terakhir acara boling, skuad Malaysia mengumpul dua emas dan dua perak  daripada  enam  acara yang ditandingi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview