Sejarah Buktikan Pakatan Pembangkang Tidak Kekal Lama

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Di sebalik keghairahan pakatan pembangkang untuk meneraju negara sebagai satu entiti, sejarah membuktikan pakatan itu tidak mampu kekal lama, kata seorang pemerhati politik hari ini.

Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata tidak seperti kerjasama Barisan Nasional (BN) yang kekal utuh selepas lima dekad, pakatan parti pesaing gagal mempertahankan muafakat kerana tidak menepati kerangka politik pelbagai kaum negara ini.

“Rekod baik dan pengalaman permuafakatan BN yang panjang serta teruji tidak dimiliki oleh parti-parti pesaing. Menyusur sejarah, permuafakatan parti-parti pesaing tidak kekal lama.

“Kerjasama berlangsung ketika pilihan raya umum sahaja seperti Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif. Seterusnya, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang memerintah Kelantan bertahan untuk satu penggal sahaja,” katanya dalam kertas kerja bertajuk ‘Kepentingan Kekuatan Politik Umat Islam Dalam Konteks Masyarakat Majmuk Di Malaysia: Satu Analisa’.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu adalah antara pembentang kertas kerja pada seminar ‘Dilema Politik Umat Islam Di Malaysia: Memahami Realiti dan Cabaran Semasa’, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, di sini.

Samsul Adabi juga berkata hakikat bahawa pakatan pembangkang tidak disertai parti politik dari Sabah dan Sarawak turut menyumbang kepada kelonggaran kerjasama mereka.

Mereka juga tidak memiliki organisasi berstruktur sekali gus tidak meletakkan mana-mana parti sebagai dominan dan ini menyebabkan sukar bagi mereka bersatu, katanya.

BN sebaliknya bukan sekadar perkongsian kuasa politik tetapi member gambaran sebenar dalam masyarakat majmuk Malaysia yang membolehkan pakatan itu terus diyakini rakyat untuk memerintah, kata beliau.

“Rekod ini belum dapat disaingi oleh permuafakatan longgar parti-parti lain. Yang jelas, permuafakatan BN selari dengan kontrak sosial penubuhan negara itu sendiri.

“Ia menyebabkan BN terus dominan dalam politik Malaysia,” katanya.

Ketika ditemui pemberita sebelum itu, Samsul Adabi berkata Malaysia mempunyai kekuatan yang berbeza berbanding negara lain untuk meraih kemajuan daripada sistem demokrasi.

Malaysia katanya berjaya mencapai kemajuan sejak merdeka hasil kebijaksanaan pemimpin yang mentadbir negara untuk kesejahteraan rakyatnya.

“Banyak negara mendapat kemerdekaan daripada zaman penjajahan pada awal abad ke-20 hingga 70-an termasuk Malaysia sendiri yang merdeka pada tahun 1957.

“Kebanyakan negara yang mencapai kemerdekaan ini, apabila mempraktikkan sistem demokrasi, didapati gagal mencapai kemajuan yang sepatutnya. Dan kita tengok, tidak banyak negara yang mencapai kemajuan hasil daripada system demokrasi seperti Malaysia,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview