Seorang Militan Maut, 20 Tentera Kerajaan Cedera Dalam Pertempuran Di Sulu, Filipina

MANILA, 23 Ogos — Seorang militan Abu Sayyaf terbunuh manakala sekurang-kurangnya 20 tentera kerajaan cedera apabila pasukan bersenjata Filipina bertempur dengan kira-kira 40 anggota kumpulan pengganas itu pada Khamis di wilayah Sulu yang terletak di selatan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap tentera.

Leftenan Kolonel Gerry Besana dari Kor Mindanao Barat berkata pertempuran sengit itu berlaku pada kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan di Kampung Langhub dalam pekan Patikul, sebuah kubu kuat Abu Sayyaf di kawasan hutan terpencil, yang berlanjutan sehingga hampir sejam.

Beliau berkata tentera yang cedera telah terkena serpihan grenad senapang dalam pertempuran ketiga seumpamanya minggu ini.

Besana berkata pertempuran turut berlaku di kampung-kampung Tugas dan Latih yang terletak berhampiran serta di pekan Patikul pada awal minggu ini.

Tentera meneruskan operasinya bagi memburu saki-baki anggota militan, katanya.

Abu Sayyaf, sebuah kumpulan radikal Islam di Filipina, sering melakukan penculikan, pengeboman dan memenggal kepala tebusan di barat Mindanao, terutama di sarang mereka yang terletak di wilayah pulau Basilan dan Sulu.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview