Shafie Mohon Batalkan Saman Musa

KOTA KINABALU, 5 Mei — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah  memohon bagi membatalkan saman oleh pendahulunya Tan Sri Musa Aman atas alasan bahawa Musa tidak mempunyai sebab munasabah untuk mencabar pelantikannya  sebagai ketua menteri pada 12 Mei. 

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Mohd Shafie berkata saman itu “memalukan, sembrono, dan menyusahkan” dan salah guna proses mahkamah.

Beliau adalah defendan kedua dinamakan oleh Musa pada saman 17 Mei terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin.

Permohonan Mohd  Shafie difailkan di mahkamah tinggi pada Isnin menerusi peguamnya Tetuan Lind Willie Wong & Chin; dan notis permohnan juga disampaikan kepada peguam Musa Tengku Fuad Ahmad.

Dalam afidavitnya bagi menyokong  permohonan pembatalan saman itu,  presiden Parti Warisan Sabah itu berkata adalah tidak dapat dipertikaikan bahawa beliau adalah “Ketua Menteri Sabah” yang sah oleh kerana partinya dan rakan mereka PKR, DAP dan UPKO mempunyai majoriti jelas 35 anggota dewan negeri (Adun) berbanding Barisan Nasional (BN) Sabah dan STAR Sabah 25 Adun di dewan negeri 60 anggota.  

Mohd Shafie berkata beliau telah sewajarnya mengangkat  sumpah di hadapan TYT di bawah Artikel 6(3) Perlembagaan Sabah yang membenarkan TYT melantik ketua menteri berdasarkan pertimbangannya bahawa  individu seumpama itu bermungkinan mendapat sokongan majoriti.

Beliau berkata TYT telah  juga bertindak menurut Artikel 7 (1) Perlembagaan Negeri oleh kerana  Musa yang mengangkat sumpah pada 10 Mei telah hilang majoriti di dalam dewan.

Mohd  Shafie memberi alasan sejajar dengan semangat artikel itu, Musa tidak memohon pembubaran dewan undangan negeri bagi membuka jalan untuk pilihan raya baharu diadakan, dan Musa sepatutnya telah meletak jawatan bersama kabinetnya.

Mohd  Shafie dalam permohonannya, mengambil contoh kes autoriti Perak melibatkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (dari PAS) lwn Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN) dalam mana mahkamah memutuskan bahawa Mohammad Nizar dianggap telah meletak jawatan dan mengosongkan pejabat Menteri Besar sekalipun tanpa mengemukakan peletakan jawatannya.  

Dalam afidavitnya, Mohd Shafie juga menimbulkan soal sama ada upacara angkat sumpah Musa pada 10 Mei dilakukan di bawah tekanan memandangkan  laporan polis yang dibuat oleh TYT terhadap Musa kerana ugutan jenayah.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview