Skuad Bawah 23 Negara Raih Kemenangan Sulung Sukan Asia 2018

KUALA LUMPUR, 15 Ogos  — Malaysia memulakan kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan bergaya selepas mengatasi Republik Kyrgyzstan 3-1 pada aksi sulung bola sepak kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia, hari ini.

Pada aksi berkenaan yang disiarkan secara langsung sebuah televisyen swasta, skuad Bawah 23 (B-23) negara terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mohd Safawi Rasid pada minit ke-38 setelah Muhammad Akhyar Abdul Rashid dijatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti.

Kedua-dua pasukan saling bertukar asakan namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, Kyrgyzstan menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Ernist Batyrkanov pada minit-55 sebelum. Muhammad Akhyar kembali meletakkan Malaysia di hadapan setelah menampan masuk hantaran silang Mohd Safawi pada minit ke-61.

Muhammad Syafiq Ahmad mengesahkan tiga mata sulung untuk skuad muda negara kendalian Datuk Ong Kim Swee setelah menampan masuk hantaran silang Mohd Safawi pada minit ke-78.

Malaysia akan menentang juara bertahan, Korea Selatan pada aksi kedua di venue yang sama pada Khamis ini.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan berkenaan, Kim Swee berpuas hati dengan aksi cemerlang ditampilkan pemainnya walaupun mengakui terdapat ruang untuk penambahbaikan sebelum berdepan Korea Selatan.

“Saya berharap kita akan bertambah baik selepas perlawanan pertama ini. Saya tahu kita menerima tekanan daripada pihak lawan pada awal babak kedua perlawanan tetapi apabila kita berjaya mendapatkan gol kedua, ia memberi keyakinan yang lebih kepada pemain,” jelas Kim Swee.

Berkongsi pandangan sama adalah Mohd Safawi yang gembira dengan kemenangan tersebut dan menyeru rakan sepasukan untuk memberi fokus menghadapi aksi getir menentang Korea Selatan.

” Alhamdulillah, kita mendapat tiga mata penuh pada perlawanan hari ini. Kita akan cuba baiki kelemahan yang ada pada perlawanan ini untuk menghadapi Korea Selatan nanti,” kata  pemain Johor Darul Ta’zim itu.


© 2018 Malaysianview