Skuad #LembahPantaiDiHatiku Fokus Bina Pendidikan Lebih Baik

KUALA LUMPUR – Parlimen Lembah Pantai menubuhkan Skuad #LembahPantaiDiHatiku dengan hasrat membina masyarakat Lembah Pantai yang lebih baik melalui institusi pendidikan khususnya persekolahan.

Inisiatif tersebut digerakkan Pertubuhan Kebajikan Wilayahku Ceria dengan matlamat memberi nilai tambah kepada pelajar sekolah menerusi beberapa siri program yang bakal dilaksanakan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wilayahku Ceria, Datuk Mohamad Sazali Kamilan, berkata, antara program yang akan dijalankan adalah menaja penceramah untuk program motivasi dan teknik menjawab soalan peperiksaan, menaja kumpulan pelajar terpilih untuk kursus (kem motivasi), menaja cenderahati sebagai pendorong untuk menghadapi peperiksaan iaitu cenderahati (kit alat tulis) bagi hadapi peperiksaan dan menaja makanan sihat (sarapan pagi) kepada pelajar sebelum masuk dewan peperiksaan.

“PIBG akan kenal pasti pelajar. Kita juga bercadang mengadakan Program Seminar Menara Gading iaitu pendedahan peluang melanjutkan pelajaran ke IPTA, IPTS dan TIVET,” ujar Sazali.

Tambahnya sebanyak lima kepimpinan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), lima kepimpinan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) dan dua kepimpinan PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Parlimen Lembah Pantai hadir dalam majlis ramah mesra dan dialog santai tersebut.

Sekolah-sekolah tersebut adalah;

  1. SMK Seri Pantai
  2. SMK Bangsar (Integrasi)
  3. SMK Bukit Bandaraya
  4. SMK Petaling
  5. SMK (Perempuan) Methodist, Kuala Lumpur
  6. SK Bangsar
  7. SK Bukit Pantai
  8. SK Bukit Bandaraya
  9. SK Petaling 1
  10. SK Petaling 2
  11. SJK(T) Saraswathy
  12. SJK(T) Jalan Bangsar

Terdahulu, pelancaran Skuad #LembahPantaiDiHatiku disempurnakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, sempena Program Majlis Ramah Mesra Kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah di Lembah Pantai, di Pantai Eco Park, Lembah Pantai.

Sebanyak lima kepimpinan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), lima PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) dan dua PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Parlimen Lembah Pantai hadir dalam majlis ramah mesra dan dialog santai tersebut.

Sementara itu, Fahmi ketika berucap menyambut baik inisiatif dan penglibatan NGO dalam membina Lembah Pantai yang lebih baik dan mengalu-alukan usaha seumpama itu.

“Pertubuhan Kebajikan Wilayahku Ceria boleh memperluaskan Skuad #LembahPantaiDiHatiku di sekolah-sekolah dalam usaha membantu menangani masalah disiplin dan gejala ponteng sekolah yang semakin menular,”katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berhasrat menubuhkan alumni sekolah di Lembah Pantai mengikut zon, memastikan segala keperluan dan cadangan pihak sekolah boleh dipanjangkan kepada pengetahuan Menteri Pendidikan.

“PIBG serta guru juga perlu memaklumkan segera kepada saya jika ada dalam kalangan pelajar sekolah masing-masing yang masih dalam keadaan daif sehinggakan tidak ada duit untuk membeli makanan,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview