SPRM Dialu-Alukan Siasat Monopoli Bekalan Ubat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ada syarikat memonopoli bekalan ubat-ubatan yang mencecah berbilion ringgit kepada kerajaan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya juga mahu tindakan tegas dikenakan jika siasatan SPRM itu mendapati wujud salah laku oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu menunggu siasatan itu selesai terlebih dulu dan tidak membuat tuduhan melulu tanpa sebarang bukti kukuh.

“Perkara ini akan kita perhatikan dalam waktu terdekat dan sedang menelitinya. Jika ada salah laku, itu di luar bidang saya, sebaliknya tugas SPRM.

“Kementerian tidak bermasalah (dengan siasatan SPRM), tetapi kita mesti (menghukum) berdasarkan bukti, bukan buat tuduhan begitu saja.

“Kita mahu lakukan yang terbaik dengan tadbir urus bertanggungjawab selain kena tahu pasaran juga ada sentimen. Kita mahu jaga semua pihak tetapi andainya wujud salah laku, SPRM akan bertindak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet di Seri Perdana di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan dokumen 12 halaman mengenai sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik kerajaan sebelum ini, mengawal bekalan ubat-ubatan yang mencecah berbilion ringgit kepada kerajaan.

Ini menyebabkan syarikat berkenaan memonopoli beberapa jenis ubatan yang boleh menaikkan harga kos untuk diedarkan kepada hospital kerajaan dan klinik.

Dokumen itu menyenaraikan 20 syarikat yang dikaitkan dengan beberapa individu dikenali termasuklah bekas menteri, ahli keluarga diraja, pegawai tinggi Felda dan bekas duta di Amerika Syarikat.

Syarikat yang memonopoli itu dipercayai diberi tender oleh kementerian yang dianggarkan berjumlah hampir RM4 bilion dari tahun 2013 hingga 2016.

Dzulkefly berkata, kementerian juga akan sentiasa melakukan siasatan dalaman, khususnya mengenai dakwaan monopoli itu, namun tidak memberikan sebarang tempoh waktu untuk siasatan itu diselesaikan.

Pihaknya juga akan memberi tumpuan untuk mengurangkan kos tertentu, selain mengesan sama ada wujud ketirisan dalam kementerian itu.

“Kami akan audit semua dan melihat keseluruhan rantaian bekalan (perubatan) dan kurangkan kos. Apa yang pasti ialah kami menentang monopoli,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview