SST: Pemantauan Ketat Elak Pihak Tidak Bertanggungjawab Ambil Kesempatan

KOTA KINABALU, 18 Julai – Kerajaan negeri Sabah mahu pihak berwajib melakukan pemantauan lebih ketat apabila sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan kelak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata ini penting bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas pengguna sekali gus memastikan sistem percukaian berkenaan tidak membebankan rakyat.

“Bagi kita tiada masalah, cuma, penjelasan lebih lanjut tentang perkara ini (daripada pihak berwajib) adalah perlu (supaya SST lebih difahami) selain menambah baik sistem cukai itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat  Kabinet negeri di sini, hari ini.

Pada Isnin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng  mengumumkan  bahawa di bawah pengenalan semula SST, peruntukan untuk perkhidmatan akan dikenakan cukai enam peratus manakala cukai jualan pada kadar 10 peratus – sama seperti dilaksanakan sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimulakan pada 1 April 2015.

Lim berkata Rang Undang-undang SST dijangka diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat sekarang dan akan dilaksanakan pada September.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview