Sultan Johor Lancar Buku Mengenai Kuda Laut Dan Habitat Semula Jadinya

JOHOR BAHARU, 4 Nov — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan melancarkan sebuah buku mengenai kuda laut dan habitat semula jadinya di Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan, Gelang Patah, di sini.

11050703_511744248992273_8567669526783702047_oBuku bertajuk ‘Seahorses-Heritage Of Pristine Johor Straits’ setebal 133 muka surat itu ditulis Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid dan Pegawai Sains UMT, C.Thirukanthan.

Diterbitkan oleh UMT, buku tersebut merupakan hasil terjemahan penyelidikan kuda laut di Sungai Pulai, Gelang Patah, yang digerakkan dengan kerjasama Institut Bioteknologi Marin UMT, Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) serta pemaju utama projek pembangunan Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV).

Buku bergambar dengan ilustrasi menarik mengenai habitat semula jadi kuda laut dan dijual pada harga RM123 itu juga mengupas secara terperinci tentang tiga spesies kuda laut yang dikaji di Sungai Pulai iaitu Hippocampus Kuda, Hippocampus Trimaculatus dan Hippocampus Spinossismus.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Canselor UMT, Prof Dr Nor Aieni Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid.

Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan melepaskan 200 ekor kuda laut di tapak Ramsar Sungai Pulai yang dikenal pasti tempat sesuai sebagai lokasi santuari kuda laut.

Kesemua haiwan terbabit merupakan generasi pertama yang dibiakkan dalam hatcheri selama lapan bulan oleh penyelidik UMT.

Pelepasan 200 ekor kuda laut terbabit turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sekali gus kawasan berkenaan diiktiraf sebagai ‘Santuari Kuda Laut Pertama Di Malaysia’.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Wan Amir Jeffery berkata pihaknya bersama UMT menjalankan penyelidikan konservasi sumber marin sejak 2008 di kawasan itu bagi mengenal pasti beberapa potensi bagi konservasi kuda laut dan ekosistem persekitarannya.

“Bagi memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati faedah daripada kewujudan hidupan marin ini, J-Biotech bersama UMT dengan sokongan CGPV melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) kini giat meningkatkan populasi kuda laut di santuari kuda laut ini menerusi fasa seterusnya,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview