Syed Saddiq Mula Tugas Di KBS

PUTRAJAYA, 3 Julai  — Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan tugasnya sebagai  Menteri Belia dan Sukan ke-18 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berkemeja putih dan berseluar kelabu gelap, tiba di Menara KBS kira-kira 8.40 pagi, sejurus selepas ketibaan timbalannya, Steven Sim Chee Keong. 

 Ketibaan mereka berdua disambut Ketua Setiausaha KBS Datuk Lokman Hakim Ali dan warga kementerian.

Dalam ucapannya, Anggota Parlimen Muar itu mahu budaya kerja warga KBS diubah dan memberi penekanan terhadap integriti serta amanah untuk menerajui kementerian itu.

“Saya mahu warga KBS menetapkan tanda aras baharu dalam integriti, amanah dan budaya kerja untuk mencorak pengurusan yang lebih baik. Soal intergiriti tiada kompromi.

“Semua perkara perlu mengikut proses yang betul kerana kejayaan kita diukur berdasarkan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat,” katanya.

Syed Saddiq turut menegaskan di bawah pentadbirannya, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia bekerjasama dengan semua bekas menteri kementerian itu termasuk Khairy Jamaluddin tanpa mengira fahaman politik.

Beliau kemudian dibawa melawat ke setiap jabatan dan mengadakan pertemuan tertutup dengan pengurusan tertinggi KBS.

Beliau yang bakal menyambut hari kelahiran yang ke-26 Disember ini, menjadi menteri paling muda dalam sejarah negara selepas mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan  Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, semalam.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview