Tak Bentuk Pasukan Termasuk Bersama KJ – Tok Mat

SEREMBAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini tidak akan membentuk pasukan bersama calon presiden, Khairy Jamaluddin.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata beliau lebih selesa bertanding atas tiket individu dan berharap perwakilan UMNO membuat pemilihan berdasarkan keupayaan calon tanpa dipengaruhi orang lain.

“Dari dulu saya memang begini, bertanding sebagai individu. Saya tidak mahu membentuk pasukan dengan sesiapa termasuk Khairy.

“Saya akui Khairy ada kemampuan untuk memimpin UMNO namun biarlah kami bertanding sendiri.

“Tidak dinafikan, ada anggapan kami akan bertanding sebagai satu pasukan kerana masing-masing dari UMNO Bahagian Rembau, tapi keadaan sebenarnya bukan begitu.

“Namun, siapa tahu, mungkin kebangkitan semula UMNO akan bermula di Rembau,” katanya kepada NSTP hari ini.

Menjelang pemilihan UMNO pada 30 Jun ini, timbul spekulasi mengatakan Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau akan bergandingan dengan Khairy yang juga timbalannya di bahagian itu, dalam menghadapi cabaran menjawat dua jawatan tertinggi parti itu.

Spekulasi itu lebih kuat apabila Khairy membuat pengumuman bertanding jawatan Presiden UMNO beberapa hari selepas bertemu Mohamad, selain memuat naik gambar mereka berdua di laman Facebook beliau dengan ungkapan ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, mengakui Khairy ada bertemunya, namun bukan untuk berbincang mengenai kerjasama menghadapi pemilihan, sebaliknya meminta beliau sendiri bertanding sebagai presiden.

“Saya tidak mahu kerana lebih selesa berada di kedudukan nombor dua kerana saya adalah ‘operation man’.

“Saya mahu memberi tumpuan untuk menyusun dan membina semula UMNO, sekali gus membawa perubahan kepada parti ini.

“Jadi, kami tidak langsung berbincang mengenai sebarang usaha membentuk pasukan. Khairy pun sebenarnya membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden pada saat akhir,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui mereka boleh bekerjasama baik jika menang jawatan ditandingi dengan menggunakan pengalaman korporatnya untuk membentuk semula UMNO, manakala Khairy yang lebih muda menjelajah seluruh negara.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview