Tatacara Pengurusan Tabung Warisan Polis Bakal Diubah – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU, 7 Jan — Tatacara pengurusan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) akan diubah dalam masa terdekat bagi memperluaskan peranannya agar tidak hanya menjaga kebajikan pesara polis malah turut mengumpul dana untuk menjalankan pelbagai aktiviti.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tabung itu pada masa ini menerima peruntukan daripada kerajaan dan tidak boleh membuat sebarang kutipan derma daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat.

Bagaimanapun, setakat ini, ia mempunyai dana kira-kira RM28 juta, kata Nur Jazlan.

“Jika tatacara itu diubah, maka TAWP boleh berperanan seperti Tabung Pahlawan (Angkatan Tentera Malaysia) yang mengutip dan menguruskan dana sendiri.

“Ia juga sekaligus memberi peluang kepada pesara untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti, selain daripada hanya menjaga kebajikan masing-masing,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan bantuan bencana ribut di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.

Dalam isu lain, Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai meminta Jabatan Audit Negara agar menjalankan pengauditan prestasi terhadap projek transformasi Sungai Segget di sini, yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Katanya permintaan itu berasaskan beberapa kelemahan yang dikenal pasti hasil pemerhatiannya.

“Dahulu saya ingat kos projek ini hanya memakan kos RM200 juta tetapi kemudian menyedari bahawa kos sebenarnya adalah RM340 juta.

“Dengan peruntukan sebanyak itu, kita meletakkan harapan yang tinggi terhadap IRDA kerana mereka yang mengasas, merancang dan melaksanakan projek ini sepenuhnya tetapi malangnya hasil yang diperoleh tidak seperti dijangka dan banjir masih berlaku,” katanya mengulas kejadian banjir kilat yang berlaku di pusat bandar baru-baru ini.

Nur Jazlan berkata beliau maklum IRDA telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat insiden terbabit namun ia tidak memadai kerana tiada audit berkecuali.

“Sebagai agensi profesional, IRDA tidak boleh menyalahkan orang lain dan saya sebagai wakil rakyat, telah menyokong dan membantu mereka dahulu untuk melaksanakan projek ini yang kononnya dapat menyelesaikan masalah banjir.

“Tetapi sekarang dalam tempoh 15 bulan, sudah 12 kali banjir berlaku dan sebab itu audit berkecuali perlu dilakukan dan setelah siap, ia harus dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) agar PAC sendiri dapat menilai prestasi IRDA,” katanya.

Terdahulu, seramai 46 keluarga dari Kampung Pasir dan Bandar Baru Uda di sini menerima bantuan wang tunai daripada Nur Jazlan sebagai meringankan beban mereka yang terjejas akibat ribut kencang pada 6 Dis lalu yang merosakkan kediaman mereka.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview