TEKUN Nasional, Public Gold Jalin Kerjasama Perluas Saluran Edaran Produk

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional  (TEKUN Nasional) dan Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama untuk memperluaskan saluran pengedaran produk, melalui Ar-Rahnu TEKUN.

Perjanjian yang dimeterai antara Ketua Pengawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Baharom Embi dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group  Datuk Louis Ng Chun Hou, yang berlangsung di ibu pejabat TEKUN Nasional di sini.

Melalui kerjasama itu, orang ramai kini boleh membeli semua jenis produk Public Gold dari ketulenan Au 999.9, dari bar emas (0.5 gram hingga 250gram)  hingga wafer ( ½ Dinar kepada 10 Dinar) di cawangan Ar -Rahnu TEKUN di seluruh negara.

Produk emas berkualiti tinggi yang patuh Syariah dan diiktiraf oleh Persatuan Pasaran Bullion London.

“Saya  yakin dengan  kerjasama ini, Ar-Rahnu akan mengembangkan cabang perniagaannya dan membantu lebih ramai usahawan. Melalui perkongsian ini, TEKUN Nasional menyasarkan  jualan minimum emas bernilai RM500,000 sehingga akhir tahun ini, ” kata Baharom ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian itu.

Beliau berkata melalui  perkhidmatan yang ditawarkan oleh Ar-Rahnu, masyarakat dapat menggadai  emas sebagai jaminan untuk mendapatkan nilai lebih, pembiayaan cepat dan mudah. Ia boleh digunakan sebagai modal perniagaan kecil dan aktiviti ekonomi yang produktif untuk membangun dan memperbaiki ekonomi rakyat.

“Emas tidak hanya bertindak sebagai lindung nilai terhadap kemungkinan krisis kewangan  tetapi juga kekayaan yang boleh diturunkan dari generasi ke generasi dengan peningkatan luar biasa dari masa ke masa.

“Kami  melihat perlunya membuka lebih banyak saluran untuk menggalakkan orang ramai  menyimpan emas fizikal untuk masa depan yang lebih cerah dan terjamin, yang akhirnya membawa kepada negara yang lebih kaya, ” kata Ng.

Ar-Rahnu TEKUN mempunyai lapan cawangan di seluruh Malaysia, terdiri daripada empat cawangan di Lembah Klang, masing-masing satu di Kedah, Kota Bahru, Tawau dan Johor Bahru dan berikutan sambutan yang menggalakkan, ia merancang untuk membuka cawangan di Sarawak, Pahang, Sabah, Perak dan Perlis.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview