Terengganu hampiri gelaran juara Sukma ke-15

KUANTAN – Terengganu semakin hampir bergelar juara Sukan Malaysia ke-15 apabila mendahului selesa kontinjen lain pada hari kedua terakhir temasya dwi tahunan itu yang akan melabuhkan tirainya esok.

Terengganu kini mengumpul 59 pingat emas, 23 perak dan 30 gangsa.

Dua daripada enam pingat emas kontinjen Terengganu hari ini diperoleh menerusi acara memanah iaitu Recurve berpasukan lelaki (pusingan Olimpik) dan Compound berpasukan wanita (pusingan Olimpik).

Atlet angkat berat Mohamad Norfarhan Ideris yang beraksi dalam kategori berat badan 105kg lelaki menyumbang dua pingat emas kepada Terengganu menerusi acara snatch dan clean & jerk.

Dua lagi pingat emas Terengganu disumbang Mohd Hafizuddin Hakim Mohd Zahari dalam acara tinju (kategori berat badan 44-46kg lelaki) dan skuad hoki wanita.

Selangor kekal menghuni tangga kedua dengan kutipan keseluruhan 47 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa.

Dua pingat emas Selangor hari ini diraih menerusi acara badminton perseorangan wanita (Yang Li Lian) dan tenpin bowling berpasukan wanita.

Tuan rumah Pahang menduduki tangga ketiga dalam kedudukan kutipan pingat dengan 44 emas, 36 perak dan 37 gangsa.

Dua daripada empat pingat emas Pahang adalah daripada sukan tinju yang dimenangi Mohd Haifizi Di (kategori berat badan 60kg lelaki) dan Muhammmad Fitri Abu Bakar (kategori berat badan 56kg lelaki).

Dua lagi pingat emas adalah menerusi acara pencak silat berpasukan dan badminton campuran (Chooi Kah Ming/ Lai Pei Jing).

Pungutan pingat pada hari terakhir Sukma Pahang esok, tertumpu kepada sukan skuasy (acara berpasukan lelaki dan wanita), petanque (berpasukan lelaki dan wanita) dan gimrama (disiplin bola, gelung dan EPG)

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview