Terengganu minta swasta bantu promosi Tasik Kenyir

Kerajaan Terengganu meminta sektor swasta turut membantu mempromosikan bidang pelancongan di Terengganu, khususnya di kawasan Tasik Kenyir.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata pihaknya amat memerlukan bantuan sektor swasta bagi menarik pelancong ke pelbagai destinasi di negeri ini, khususnya pada tahun depan bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Terengganu 2013.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sedia membantu menjayakan program-program anjuran syarikat swasta bagi mempromosikan bidang pelancongan, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Monsson Cup Casting 2012 yang bekerjasama dengan Sekretariat TMT 2013 yang menganjurkan program berkenaan di Tasik Kenyir selama empat hari mulai 14 November lalu.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami amat mengalu-alukan usaha-usaha sebegini kerana bentuk penganjurannya adalag secara swasta, tetapi ianya secara langsung akan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai lokasi pemancing utama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup program tersebut dan penyampaian hadiah kepada pemenang yang diadakan di Pulau Mahathir di Tasik Kenyir, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Fathil Abd Ghani.

Seramai 130 peserta yang terdiri daripada pemancing dari seluruh negara menyertai acara itu yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu bagi memberi peluang kepada kaki pancing untuk memancing di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Dato’ Haji Wan Ahamad berkata, pada tahun 2011 seramai 275,241 pelancong datang ke Tasik Kenyir manakala bagi tahun ini sehingga Ogos lalu 269,863 orang telah berkunjung ke tasik tersebut.

Beliau menjangkakan pertambahan pelancong sebanyak 20 peratus pada tahun ini dapat dicapai menjelang akhir tahun ini. – Teganukita

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview