Teruskan Selagi Ia Bermanfaat Kepada Rakyat Johor – Khaled

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian, kerana telah melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat terutamanya, segala inisiatif dan dasar pro rakyat yang telah diperkenal dan dimulakan oleh pentadbirannya di bawah Barisan Nasional (BN) sepanjang 5 tahun lepas.

Tambahnya, kebanyakan daripada idea dan inisiatif tersebut nampaknya telah diteruskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri Johor sekarang, antaranya, Air Percuma Johor, iaitu pemberian air percuma secara bersasar kepada golongan yang memerlukan (walaupun dalam jumlah isipadu yang lebih sedikit berbanding sebelum ini), perkhidmatan percuma Bas Harapan Johor, pemberian insentif khas musim perayaan kepada kakitangan Kerajaan Negeri serta bantuan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada para pelajar Johor.

“Sekalipun sesetengah program tersebut telah ditukar nama dan label rasminya, saya amat gembira, malah berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan semua itu. Kami pastinya tidak akan mengambil pendekatan ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’ dalam perkara ini. Selagi mana ia bermanfaat kepada rakyat Johor, inisiatif lama yang saya bersama-sama pasukan UMNO/BN usahakan sebelum ini harus diteruskan.

Akan tetapi, adalah tidak salah untuk saya tegaskan bahawa penerusan segala inisatif dan dasar tersebut sebetulnya satu pengiktirafan yang menunjukkan betapa usaha UMNO dan BN sebelum ini benar-benar memberi manfaat dan memenuhi kehendak serta keperluan rakyat Johor.

Ia menggambarkan dengan jelas bahawa saya dan pasukan UMNO/BN sebelum ini melakukan perkara yang betul dan perlu kepada negeri Johor. Malah ia menunjukkan bahawa perbelanjaan kewangan negeri sebelum ini diuruskan dengan baik, berhemah dan strategic,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Akan tetapi, Khaled amat berharap yang segala inisiatif tersebut bukan sahaja akan diambil begitu sahaja dan diteruskan bulat-bulat.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri mesti bekerja keras dan turut memikirkan sendiri idea dan nilai tambah baharu yang boleh diberikan bagi menjadikan segala inisiatif kami itu semakin baik dan mantap. Hanya dengan berbuat demikian, hasil tangan dan nilai tambah dari Kerajaan Negeri PH dapat dilihat dan dinilai oleh semua pihak.

“Pada masa yang sama, saya amat berharap beberapa idea besar dan penting yang diusaha dan dirancangkan oleh pentadbiran saya sebelum ini akan diberikan perhatian sewajarnya oleh YAB Menteri Besar Johor.

Antaranya, pertama, penterjemahan Agenda Johor Islami, khususnya pemerkasaan sekolah dan pendidikan agama di Johor.

Sebelum ini, saya merancang untuk memastikan sekolah-sekolah agama di Johor diperkemas dan dimodenkan dengan teknologi terkini. Ini termasuklah memastikan, selain 4 buah sekolah sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya satu sekolah agama di setiap parlimen Johor menggunakan iPad sebagai medium pembelajaran.

Saya turut menzahirkan hasrat untuk mengkaji semula sistem imbuhan dan pembinaan kapasiti guru-guru agama Johor secara komprehensif dan meletakkan sasaran membina sebuah sekolah agama antarabangsa di Johor. Jadi, saya amat berharap kesemua ini akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri secara objektif dan professional,” ujarnya yang juga Naib Presiden UMNO.

Khaled juga secara peribadi amat berharap, sekalipun tidak ada sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini oleh pihak beliau, YAB Menteri Besar Johor tidak akan terkesan dengan pelbagai tekanan dan serangan ke atas sekolah agama dan pusat tahfiz yang kini lantang disuarakan kepada rakan-rakan PH di peringkat persekutuan, yang kelihatan mahu sekolah tahfiz ditutup.

“Sebagai negeri yang mempunyai sistem sekolah agama yang besar dan menyeluruh, YAB Menteri Besar Johor seharusnya menjadi suara yang tegas dan serius dalam perkara ini. Jika tidak, tidak mustahil institusi sekolah agama Johor akan turut menerima tempias dan tekanan dari pemikiran liberal yang tidak memberi sokongan kepada sekolah agama dan pusat tahfiz.

Kedua, saya harap, dan amat menyokong, sekiranya pentadbiran YAB Menteri Besar Johor mempertimbangkan untuk Kerajaan Negeri mengambil alih Syarikat Air Johor (SAJ).

Cadangan ini saya sarankan berdasarkan beberapa faktor. Pertama, proses ini sememangnya mampu dilakukan oleh negeri Johor, melihat kepada kedudukan kewangan yang kukuh dan jumlah rizab negeri Johor yang tinggi, yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini, yang melebihi RM3 bilion,” tambahnya.

Kedua, dengan pengambilan SAJ ini, Kerajaan Negeri bukan sahaja berpeluang memperoleh dividen mencecah RM100 juta setahun, malah berupaya mengawal dan merendahkan tarif air Johor secara keseluruhannya dengan lebih berkesan. Ini akan sekaligus membolehkan Kerajaan Negeri memberikan lebih banyak air percuma kepada golongan sasar dan tidak sekadar 10m padu seperti yang dilakukan sekarang.

“Ini adalah antara perancangan besar yang saya telah susun untuk lakukan sebelum ini, kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Johor.

Perkara ketiga, saya ingin sekali menggesa agar Kerajaan Negeri benar-benar memperhalusi dan mempertimbangkan secara serius saranan membesarkan lebuhraya Johor, seperti yang dirancang oleh UMNO/BN sebelum ini. Sebagai negeri yang sedang pesat membangun, penambahbaikan prasarana seperti lebuhraya adalah amat kritikal kepada Johor.

Akhir sekali, saya berharap, pelbagai inisiatif baik yang telah dimulakan oleh saya dan pasukan UMNO/BN sebelum ini tidak akan dikorbankan hanya disebabkan oleh perbezaan politik dan pendirian. Semua inisiatif yang baik yang telah dimulakan sebelum ini seharusnya terus dilaksanakan demi kepentingan dan manfaat kepada semua rakyat Johor,” tambahnya yang juga Mantan Menteri Besar Johor.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview