Tiada Halangan Sekiranya SELCAT Mahu Siasat DEIG – Azmin Ali

SHAH ALAM, 7 Nov — Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini berkata tiada halangan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) mahu menyiasat penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

azmin-ali_deig_600Ini kerana katanya, entiti berkenaan masih belum beroperasi seperti mana yang didakwa pelbagai pihak malah ia sedang melalui proses penstrukturan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata anak syarikat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) itu juga akan dibentuk supaya menjadi satu syarikat yang bertanggungjawab mengikut tatacara yang dibenarkan Jabatan Audit Negara.

“DEIG masih belum beroperasi jadi apa yang mahu disiasat? Jika masih mahu siasat, bolehlah.

“Kita mahu DEIG mengamalkan prinsip ketelusan dan itu adalah jaminan yang boleh diberikan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas upacara pembukaan Persidangan Usahawan Malaysia-China Kelima, di sini Saabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mahu SELCAT menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu DEIG terutama melibatkan dakwaan tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah sebuah anak syarikat kumpulan itu.

Abdul Khalid menyatakan dalam siasatan itu, SELCAT mesti mengesahkan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran, meskipun DEIG mengaku kewujudan tawaran pinjaman itu yang kemudiannya ditolak.

DEIG merupakan entiti yang ditubuhkan pada Disember lepas di bawah Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bagi menguruskan sektor pelaburan, aset dan perniagaan anak-anak syarikat kerajaan negeri itu.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview