Tidak Boleh Terima Orang Buat Anak Saya Begitu – Ibu Adam Raykal

KUALA LUMPUR, 18 Julai — “Saya jaga bayi di wad, saya tidak pernah buat anak orang, bila orang buat Adam begitu saya tidak boleh terima,” kata ibu kepada Adam Raykal Mohd Sufi Naeif bayi berusia lima bulan yang ditemukan meninggal dunia dalam peti sejuk pada 3 Julai lepas.

Farah Madihah Othman, 28, yang bertugas sebagai jururawat di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur berkata beliau tidak pernah menjangkakan tragedi hitam itu akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan mereka.

“Saya rasa terlalu sekejap bersama anak. Adam baru berusia lima bulan, memang asyik teringat dia (Adam Raykal) bila di rumah… saya tidak boleh bayang macam mana Adam menangis ketika kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Amaniah, Batu Caves di sini hari ini.

Menurutnya, beliau kini reda dengan insiden yang menimpa anak sulungnya itu meskipun pada awalnya asyik menangis teringatkan Adam Raykal.

Pada awalnya beliau mengakui agak sukar untuk mempercayai pengasuh berkenaan, namun wanita itu berjaya meyakinkannya dengan berjanji menjaga Adam Raykal sebaik mungkin.

“Memang susah nak meletakkan keyakinan kepada pengasuh tapi bila dia (pengasuh)  beri keyakinan dan menjaga anak OKU (Orang Kurang Upaya) sedikit sebanyak saya membuat pertimbangan menghantar anak saya kepadanya,” katanya.

Menceritakan detik kejadian, Farah Madihah berkata pengasuh berkenaan menghubunginya dan mendakwa suaminya Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, telah mengambil anak mereka.

“Saya memang betul-betul ingat anak dilarikan tak terfikir dia (pengasuh) bertindak sedemikian,” katanya.

Farah Madihah berkata beliau kini bercuti dan masih menunggu keputusan permohonan pertukaran ke Terengganu. 

Terdahulu, Farah Madihah menerima kunjungan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad.

Pada 3 Julai lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis di bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.

Noraini ketika ditemui pemberita mencadangkan kerajaan mengambil tindakan drastik susulan insiden berkenaan antaranya dengan menguatkuasakan undang-undang.

Menurutnya, kerajaan harus mewajibkan semua pengasuh sama ada yang mengasuh di kediaman sendiri  atau pusat asuhan supaya berdaftar dengan kementerian berkaitan.

“Kementerian boleh paparkan kepada umum pengasuh yang berdaftar dengan mereka supaya dapat meyakinkan ibu bapa…selain itu kami sarankan supaya satu pusat latihan untuk melatih pengasuh diwujudkan supaya mereka dapat menjalankan tugas secara profesional, “ katanya.

— BERNAMA

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview