Tingkatkan Keupayaan Ramal Bencana Baharu – Wan Azizah

PUTRAJAYA, 8 Jun — Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu meningkatkan keupayaan meramal bencana-bencana baharu yang mungkin dihadapi negara bagi membuat persediaan perlu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Beliau berkata fenomena perubahan iklim yang berlaku hari ini harus diteliti dengan mendalam. 

“Kita mungkin akan menghadapi bencana-bencana baharu seperti kemarau yang panjang dan juga taufan. Masalah-masalah ini jarang berlaku di negara kita dan kita harus meneliti dari sekarang persediaan yang diperlukan. 

“Kita perlu melakukan perancangan senario untuk menghadapi kemungkinan yang di luar jangkaan di masa hadapan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. 

Dr Wan Azizah sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan diberikan taklimat tentang agensi itu.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk mengadakan audit risiko bencana bagi setiap negeri memandangkan profil risiko bencana adalah berbeza antara negeri. 

“Oleh itu, persediaan yang diperlukan juga mungkin akan berbeza,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata aset dan teknologi yang perlu ketika berdepan bencana perlu dikenal pasti agar dapat mengurus dengan lebih baik dan efisien. 

Katanya NADMA juga perlu merancang latihan dengan pelbagai  agensi untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik di peringkat operasi selain berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung penyelarasan yang perlu diwujudkan ketika bencana.

Beliau juga berkata pengajaran daripada banjir besar yang berlaku di Kelantan pada 2014 perlu diteliti. 

Dr Wan Azizah juga meminta NADMA meneliti Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melihat sama ada ia perlu ditambah baik.

“Arahan 20 dikeluarkan selepas tragedi Highland Tower runtuh lebih 20 tahun lalu. Mungkin kita perlu meneliti perkara-perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.

 Dr Wan Azizah berkata mesyuarat itu turut membincangkan beberapa perkara lain termasuk meneliti keberkesanan sistem amaran awal dalam menghadapi banjir bagi meminimumkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.

Sementara itu, Ahmad Jailani berkata audit risiko akan digerakkan dengan kerjasama agensi  lain supaya lebih terancang dan tertumpu kepada keperluan yang jelas. 

“Kita akan gerak dengan lebih efektif dalam tempoh masa terdekat.  Dalam audit ini nanti kita akan lihat balik dokumen-dokumen dan keperluan yang ada dan lihat sejauh mana ianya memenuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. 

Ahmad Jailani berkata NADMA merancang menubuhkan  Sahabat NADMA untuk memudahkan latihan dan kerjasama dengan individu, NGO dan persatuan bagi membantu dan menyelamat mangsa bencana. 

“Ini adalah langkah yang baik selain dapat mewujudkan kos efektif dan akan membantu mempercepatkan usaha menyelamat dan sebagainya,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview