TKM 1 Pulau Pinang Dimasukkan Ke HPP Kerana Serangan Jantung

GEORGE TOWN, 5 Julai — Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dimasukkan ke Wad Rawatan Jantung (CRW) Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini kerana serangan sakit jantung.

Pembantu Khas Timbalan Ketua Menteri I itu, Muhasdey Muhamad berkata Ahmad Zakiyuddin mengalami sakit dada ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis di Kepala Batas pada pukul 12 tengah hari ini.

“Datuk Ahmad Zakiyuddin mengadu sakit dada selepas itu beliau terus dibawa ke KPJ Bandar Perda (hospital swasta) sebelum dipindahkan ke CRW HPP,” katanya menerusi WhatsApp, di sini malam ini.

Beliau berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal itu kini dalam keadaan stabil dan akan menjalani rawatan angiogram pagi esok.

Ahmad Zakiyuddin, 60, yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri, adalah antara lima muka baharu yang dilantik dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas Pakatan Harapan berjaya mempertahankan negeri itu pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lalu.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview