TMT 2013 Saji 27 Acara Menarik

Karnival 1Malaysia Tahun Baru Cina di perkarangan Kampung Cina, Bandar Raya Kuala Terengganu membuka tirai 27 acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata TMT 2013 yang mensasarkan kehadiran empat juta pelancong menyajikan pelbagai program menarik yang bermula dengan karnival 1Malaysia pada Januari, kemudiannya disusuli dengan Le Tour De Langkawi 2013 yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini pada Februari hingga Mac.

“Selain dua acara itu, 25 acara lagi termasuk International Terengganu Starhill 4X4 Challenge 2013 (pinggiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak), Kenyir Lake International Triathlon 2013 di pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dan Cabaran Reka Cipta Islam dan Perasmian Kincir Air Taman Tamadun Islam sepanjang Mac.

“Kemudiannya pada April akan berlangsung Bidong Underwater & Land Challenge (Pulau Bidong), Petronas Cub Prix (Kompleks Sukan Gong Badak), Boat On The Road (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir), Terengganu World Invitational Jetrace Chellenge 2013 (Pantai Batu Buruk) dan Kapas-Marang International Swimathon 2013 (Pantai Kelulut, Marang), “ katanya kepada media di pejabatnya, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Di majlis itu, beliau turut mengumumkan pelantikan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Hisamudin Hashim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013 bagi mengetuai sekretariat itu nanti.

Dato’ Abdul Rahin berkata, sebahagian lagi program TMT bermula Mei termasuk Pelancaran Karnival Candat Sotong Harian Metro 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu; Karnival GP Joran 2013 di Pantai Teluk Lipat, Dungun dan Pesta Pantai Terengganu 2013 pada Mei hingga Jun.

“Pesta Pantai pada musim depan akan diadakan di jajaran pantai dan kerajaan negeri bersetuju untuk menganjurkan program untuk rakyat itu di Pantai Mengabang Telipot, Batu Rakit, Kuala Terengganu, di mana sinonim dengan tradisi acara itu sendiri yang bermula di kawasan pantai,” katanya .

Katanya, pada Jun adalah Terengganu International Islamic Art Festival (TTI), International Tebu Mountain Challenge 2013 (Hutan Lipur Air Terjun Chemerong), pada Ogos pula diadakan pertandingan peliata raya 2013 di Tepoh, Kuala Terengganu, diikuti Larian Jambatan Sultan Mahmud, (penamat di Pantai Batu Buruk.)

Sementara sepanjang Oktober hingga Disember pula, Piala Sultan Mizan (Lembah Bidong, Setiu), International Perhentian Island Challenge, Kenyir Cup, Terengganu Eco & Marine Tourism Conference, Terengganu Quiksilver Best Event Surfing Contest 2013 (Pantai Batu Buruk) serta Piala Monsun dan Chemerong International Challenge (Hutan lipur Chemerong, Dungun) menutup tirai acara TMT 2013.

sumber: TeganuKita

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview