Tribute Teater Tun Siti Hasmah tambat hati penonton

UMUM mengetahui, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang pemimpin yang tegas serta berpendirian teguh dalam setiap keputusan dibuatnya tetapi beliau juga mempunyai sisi-sisi peribadi  tidak pernah diketahui ramai.

Bersempena dengan persembahan Tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah – Dari Hati Seorang Perempuan, penonton bakal dihidangkan dengan babak perkenalan dan percintaan yang dilalui oleh pasangan ini.

Pada permulaan babak menyaksikan zaman di kala Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah – kedua-duanya lulusan perubatan – berada di alam universiti seterusnya berkahwin selepas Dr Siti Hasmah memperoleh ijazahnya.

Perjalanan di permulaan cerita banyak diselitkan dengan elemen muzikal di mana memperlihatkan buat pertama kali pelakon utamanya Lisa Surihani dan Nazim Othman menari secara ‘live’ di hadapan ratusan penonton di Panggung Sari, Istana Budaya .

Lisa dan Nazim yang pertama kali berganding di sebuah pentas yang berprestij mempamerkan aksi persembahan yang bersahaja dan bertenaga.

Kadang kala terasa lucu dengan sesetengah dialog yang diungkapkan Nazim yang menggunakan dialek utara yang sememangnya sinonim dengan Dr Mahathir.

Pelbagai konflik bermula ketika watak sudah beralih arah kepada pelakon Esma Daniel dan Eja untuk melakonkan watak kedua-dua tokoh itu ketika dewasa.

Pada ketika ini, babak-babak menunjukkan konflik dan dilema yang dihadapi bekas wanita pertama negara ini memainkan peranan sebagai tulang belakang kuat menyokong segala usaha dan perit lelah suaminya dalam membantu anak bangsa.

Pengarahnya, Erma Fatima berjaya mencipta babak yang mampu mengalirkan air mata apabila saat Dr Mahathir mahu menjalani pembedahan akibat penyakit jantungnya.

Babak itu benar-benar menunjukkan ketabahan seorang isteri yang cekal dengan sebarang keputusan yang diambil oleh suaminya.

Selain itu, pasti ramai masih mengingati detik Dr Mahathir mengumumkan peletakkan jawatannya semasa Perhimpunan Agung Umno pada 2002.

Babak ini juga mampu mengimbau nostalgia apabila ia mampu diterjemahkan dengan baik, malah pasti peristiwa itu mampu menarik perhatian penonton untuk mencari kembali video saat-saat genting itu di laman Internet.

Esma yang berpengalaman melakonkan watak Dr Mahathir semasa pementasan teater muzikal Tun Mahathir 1 dan 2 tahun lalu semestinya tidak boleh dipertikaikan kehebatannya di pentas teater, malah dirinya seakan sudah sebati dengan watak bekas perdana menteri itu sendiri.

Selain itu, melihat kelibat Eja di atas pentas berprestij itu, dirinya sangat mirip dan persis mantan wanita pertama itu.

Antara kelainan lain yang terdapat dalam teater ini ialah Erma sendiri selaku pengarah turut berlakon sebagai setiausaha yang sudah lama berkhidmat kepada Dr Mahathir yang dikenali sebagai Datuk Badariah.

Pelakon-pelakon seperti Azizah Mahzan yang memegang watak sebagai kakak kepada Dr Siti Hasmah, Siti Saleha turut memberikan lakonan yang cemerlang selain lakonan sekumpulan bidan-bidan kampung yang berjaya mencuit hati penonton dengan aksi menari bersahaja yang dipersembahkan mereka.

Teater yang diterbitkan World Islamic Network Television (WINT) naungan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan itu melibatkan sebanyak 130 krew selain sesi latihan selama sebulan setengah telah dijalankan hasil didikan Erma sambik dibantu penolongnya, Normah Nordin.

Ia dipentaskan bermula 9 sehingga 19 November ini dan dijangka pada malam terakhir pementasan itu, pasangan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sendiri akan hadir untuk melihat bagaimana kisah hidup mereka dicoretkan di atas pentas teater kebangsaan rakyat Malaysia itu.

Dengan berbaki tujuh hari lagi pementasan, peminat boleh mendapatkan tiket-tiket yang dijual melalui laman sesawang  www.ticket2u.biz.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview