UMNO Beaufort Masil Utuh – SU BN Sabah

Kota Kinabalu – Umno Beaufort, yang sebelum ini dipimpin oleh anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin, masih berfungsi dengan kebanyakan anggota jawatankuasa (AJK) bahagiannya kekal dengan Umno.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata mereka termasuk timbalan ketua bahagian, naib ketua, kebanyakan AJK, ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri dan majoriti anggota anggota jawatankuasa tiga sayapnya.

“Kesemua mereka masih kekal dalam Umno. Begitu juga dengan ketua cawangan yang kekal dengan Umno. Apa yang jelas, Lajim kini bersendirian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata seperti dengan kerusi Parlimen dan dewan Undangan negeri yang lain di seluruh negara, BN bersedia untuk mempertahan kerusi Parlimen Beaufort dan Tuaran.

“Dan Insya-Allah, kami akan memenanginya lagi demi masa depan rakyat dan negeri dan negara,” katanya.

Abdul Rahman mengulas tindakan Lajim yang meletak jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort BN, berkuatkuasa Sabtu lepas dan juga peletakan jawatan Datuk Wilfred Bumburing sebagai Timbalan presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

“Setengah orang mungkin berkata pengumuman Datuk Seri Lajim Ukin untuk menyertai pembangkang adalah satu perkara yang mengecewakan atau sedih.

“Secara peribadi, saya berpendapat pengumuman itu merupakan seperti majlis yang meriah bagi Barisan Nasional kerana kini, Umno Beaufort boleh secara agresif menggerakkan jenteranya tanpa diganggu oleh ketidaktentuan sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

“BN menyaksikan pemimpin datang dan pergi. Tetapi belajar daripada pengalaman, BN terus berdiri teguh dan terus menjadi parti pilihan bagi majority rakyat Malaysia,” katanya.

Abdul Rahman berkata adalah jelas bahawa rakyat mengundi BN sebagai sebuah parti dan bukan calon individu seperti apa yang Lajim dan Bumburing sering keliru.

“Rakyat meletakkan kepercayaan mereka atas “dacing” yang menyediakan rancangan masa depan dan bukan mengenai “Primadona” yang hanya memikirkan kepentingan sendiri dan kedudukan sahaja,” katanya. – Bernama

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview