UMNO Gesa PH Tidak Layan Tuntutan Menyentuh Hak Melayu

KUALA LUMPUR: UMNO menggesa Pakatan Harapan (PH) agar tidak melayan tuntutan pihak tertentu yang cuba menyentuh hak orang Melayu, khususnya membabitkan FELDA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam kenyataannya, berkata parti itu gusar dengan tuntutan sedemikian yang bakal mengecilkan hak orang Melayu di tanah air sendiri.

Katanya, peneroka FELDA memiliki sumbangan yang besar kepada ekonomi negara dan tidak sewajarnya diperlekehkan mana-mana pihak, khususnya PH.

“Perlu diingat, dalam pada kerajaan PH mewujudkan ‘Malaysian Malaysia’, kita perlu menghormati hak sesuatu kaum di negara majmuk ini.

“Sebenarnya bangsa Melayu sudah banyak berkorban terhadap hak mereka sebelum ini, termasuk memperuntukkan 10 peratus tempat untuk pelajar bukan Melayu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

“Di samping tiada desakan agar kampung baru dan institusi pengajian Cina dan India ‘diMelayukan’, maka hak mereka (orang Melayu) terhadap FELDA tidak perlu dipertikaikan.

“Biarlah FELDA dijadikan hak Melayu, seperti wujudnya kampung baru untuk bangsa Cina dahulu,” kata kenyataan unit itu, hari ini.

Sementara itu, UMNO menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang memutuskan untuk memberi bonus Aidilfitri sebanyak RM450 masing-masing kepada semua peneroka FELDA dan FELCRA.

Katanya, agihan peruntukan bernilai RM50 juta untuk peneroka FELDA itu adalah kesinambungan ihsan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, manakala insentif Aidilfitri kepada peneroka FELCRA berjumlah RM44 juta pula adalah hasil keuntungan perniagaan agensi berkenaan.

“Semua ini adalah hasil desakan UMNO baru-baru ini supaya peneroka dipertimbangkan duit raya mereka dan ternyata desakan UMNO itu menerima keprihatinan PH.

“Sememangnya pemberian bonus dan duit raya kepada peneroka sudah menjadi ‘tradisi’ kerajaan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri sejak April 2009,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview