UMNO Kutuk Filem Dan Karikatur Hina Rasulullah SAW

KUALA LUMPUR 20 Sept – Majlis Tertinggi UMNO hari ini mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem anti-Islam, ‘Innocence of Muslims’ dan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah Perancis yang telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Majlis Tertinggi UMNO juga mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab seorang pemimpin DAP yang mempertikaikan tindakan umat Islam dalam hal tersebut.

“Kita dalam isu agama ni kita tidak boleh cakap sesuatu lepas itu percakapan kita itu bila kita dapat kesan menimbulkan sesuatu kemarahan yang amat sangat lepas itu kita minta maaf…

“Jadi kalau macam itu senanglah…Kita pun boleh buat macam itu. Kita boleh lempar, kita kata yang menghina ataupun memburukkan agama lain lepas itu kita minta maaf. Jadi kalau macam ini perbuatannya soalnya sama ada kita benar-benar ikhlas atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabatnya, Menara Dato Onn, petang ini.

Datuk Seri Najib seterusnya berkata kemarahan umat Islam ini adalah sesuatu yang dijangkakan dan tidak dapat dielakkan memandangkan ianya telah menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Menurut beliau ianya adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima walapun atas nama kebebasan bersuara yang merupakan pegangan kuat masyarakat Barat kerana ia telah mencemar kesucian Islam serta kemuliaan Nabi Muhamad SAW.

“Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dunia untuk bekerjasama memahami dan menghormati agama dan amalan masing-masing agar kita dapat hidup dalam suasana aman.

“Dalam pada umat Islam mempertahankan kesucian agama Islam, kita mestilah menggunakan pendekatan yang berhemah dalam melahirkan perasaan tidak puas hati dan bantahan terhadap filem berkenaan.

“Bantahan umat Islam secara keganasan dan melampau dalam isu ini hingga membawa kepada kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana Islam tidak menggalakkan penggunaan kekerasan sebagai cara menyelesaikan masalah,” katanya.

Sebaliknya kata beliau lagi dialog dan kerjasama antara masyarakat untuk memupuk toleransi dan persefahaman perlu dipupuk sepanjang masa sebagaimana yang digerakkan oleh Malaysia menerusi Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview