UMNO Mahu Bangkit Relevan Dalam Persada Politik Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Presiden UMNO baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemilihan terbuka adalah satu proses demokrasi yang bersejarah dan keinginan untuk bingkas segera menjadi parti yang relevan dalam arena politik tanah air. 

Beliau berkata pemilihan ini merupakan proses demokrasi yang dituntut oleh semua ahli dan parti tersebut berjaya melakukannya bagi setiap peringkat jawatan, yang menyaksikan jawatan tertinggi parti dipertandingkan selepas kali terakhir pada 1987.

Ahmad Zahid, yang sebelum ini naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, hari ini dipilih sebagai presiden UMNO apabila mendapat 93 undi, jauh meninggalkan dua pencabar utamanya iaitu bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memperoleh 51 undi dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah yang meraih 23 undi.

“Ini bukan kemenangan individu tetapi kemenangan kita semua, kemenangan UMNO dan ahli parti. Pelawaan saya terus terbuka untuk mereka bersama-sama kepimpinan baharu bagi menterjemahkan pembaharuan UMNO. 

“Sesungguhnya pemilihan yang lancar ini adalah manifestasi ahli UMNO yang kasihkan parti serta mahu ia terus bangkit untuk relevan dalam pentas politik tanah air. Kita sudah bergerak merakyatkan UMNO,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata proses pemilihan kali ini yang berjalan lancar lancar juga merupakan simbol penyatuan ahli dan membuktikan mereka adalah orang UMNO.

Beliau juga menyeru anggota UMNO merapatkan barisan dan menjadikan parti keramat itu sebuah parti yang membela kepentingan rakyat.

“Kita akan terus bergerak seiring dan sejalan. Rakyat amat mengharapkan UMNO terus memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” serunya.

Ahmad Zahid seterusnya menzahirkan terima kasih kepada penyokongnya dan akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) secepat mungkin bagi membincangkan pendekatan yang diambil dalam manifesto semua calon presiden.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview