UMNO Pagoh Terus Kukuh, Krisis Tidak Melarat Seperti Di Permatang Pauh

PAGOH, 12 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini memberi isyarat jelas kepada UMNO bahagian Pagoh supaya tidak dibelenggu nostalgia kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambahnya, UMNO Johor sangat beruntung kerana ‘gelora’ di Pagoh sebelum ini tidak melarat dan membawa kepada keretakan UMNO di negeri ini.

“Dalam perjuangan, ada pasang surutnya. Ada gelora dan badainya. Ada timbal balasnya. Namun inilah adat hidup. Gelap pasti akan berlalu. Panas pasti ada redupnya dan inilah juga yang kita saksikan di Pagoh pada hari ini.

Kita harus bersyukur dan berbangga, UMNO Pagoh terus berfungsi dengan baik. UMNO Pagoh tidak lagi menoleh ke belakang.

Kita boleh menyaksikan sendiri, Pagoh kini berada dalam keadaan yang sangat tenteram. Gelora dan badai yang melanda Pagoh sebelum ini telah lama berlalu pergi,” ujarnya berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Pagoh yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambahnya, krisis yang melanda (Umno) Pagoh tidak merebak, ia hanya sementara dan telah reda.

“Kita tidak melihat berulangnya kelumpuhan seperti UMNO di Permatang Pauh 20 tahun dahulu. Kita tidak melihat ahli parti meninggalkan UMNO secara besar-besaran sehingga kita kehilangan sokongan Melayu yang sangat besar dalam pilihanraya umum 1998.

Semua ini berlaku kerana pemikiran ahli UMNO Pagoh. Yang tidak terburu-buru. Yang tidak mengikutkan perasaan. Sekalipun dalam waktu krisis. Malah bukan sahaja UMNO terus teguh, kesatuan Melayu Johor juga terus kekal kuat,” tambahnya

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi tradisi PKR sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan pada 1998. Kerusi itu kini disandang isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan ketua pembangkang.

Kenyataan itu mengulas mengenai krisis dihadapi Umno Pagoh selepas Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri dan ketua bahagian itu dipecat daripada parti itu tahun lalu.

Mohamed Khaled yang juga menteri besar Johor berkata, Umno bahagian itu mesti beralih kepada fasa baru dan merencanakan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita mesti menang kerana ramai sekali yang beranggapan bahawa Pagoh berhadapan cabaran besar untuk UMNO dalam pilihan raya akan datang.

“Bagi saya cabaran dalam politik itu adalah lumrah dan akan sentiasa hadir. ?Masakan ada perjuangan tanpa cabaran. Masakan ada samudera tanpa gelora. Masakan Malaysia yang moden ini tidak mempunyai pancaroba. Tanpa semua itu, maka tidak adalah perjuangan,” katanya.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, ?semangat Pagoh harus diteladani oleh Umno di seluruh negara.

Ini kerana Umno Pagoh sangat bijaksana, strategik dan matang dalam menangani krisis.

“Pagoh tahu keutamaan mereka. Pagoh tidak mudah dihanyutkan oleh isu. Pagoh bukan bahagian yang merajuk-rajuk panjang dan mengamuk membuta tuli.

“Sebaliknya, Umno Pagoh tahu dalam perjuangan, kesetiaan pada perjuangan itu mutlak. Ia tidak boleh dikompromi. Ia tidak boleh dijual beli dan ditukar ganti,” katanya.

Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Pagoh itu dirasmikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pemangku Ketua Umno bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Berita Berkaitan