UMNO Tak Diyakini Angkara Walak – KJ

KUALA LUMPUR: Pembaharuan progresif, termasuk mewajibkan pemilihan UMNO setiap tiga tahun tanpa sebarang penangguhan perlu dilaksanakan dalam usaha ‘menghidupkan’ kembali keyakinan ahli.

Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin, ketika menyuarakan cadangan itu berkata ia sebahagian daripada manifesto yang akan direalisasikan sekiranya diberi keyakinan untuk menerajui jawatan Presiden UMNO menjelang pemilihan 30 Jun ini.

Selain itu, katanya, sebarang usul atau resolusi untuk menutup ‘gelanggang’ pertandingan bagi jawatan tertinggi parti akan dimansuhkan serta-merta menerusi pindaan perlembagaan UMNO.

“Langkah ini adalah jaminan ke arah menyuburkan amalan demokrasi dalam UMNO, selain menjadikan kerangka kepemimpinan tertinggi bertanggungjawab dalam segenap aspek yang menyentuh kepentingan dan hal ehwal parti.

“Kita perlu hormati suara akar umbi dan jika mereka rasa kepemimpinan sedia ada tidak menjalankan tugas dengan baik, barisan ‘nakhoda’ baharu boleh dilantik selepas tiga tahun.

“Usah lagi ada usul dan resolusi supaya Presiden dan Timbalan Presiden atau mana-mana jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, kononnya atas dasar walak kepada institusi kepemimpinan UMNO.

“Atas dasar itulah, lihat sekarang ini di mana kita berada,” katanya dalam nada kecewa pada sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.

Khairy menyifatkan kesedaran untuk merebut jawatan Presiden UMNO lahir daripada hasrat untuk memberi pilihan yang lebih terbuka kepada ahli parti, sekali gus membuka ‘pintu’ pembaharuan pasca kekalahan mengejut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ditanya sama ada sindiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyumbang kepada kesedaran itu, beliau hanya tunduk mengukir senyuman sambil berkata: “Saya hanya membuat keputusan betul-betul pada saat akhir.

“Sudah lama lepas Tun (Dr Mahathir) buat kenyataan itu (baru saya nekad bertanding Presiden), jadi percaturan ini mengambil kira pandangan semua.

“Kita tidak lagi boleh ada skrip dalam UMNO atau mengambil langkah biasa untuk situasi luar biasa kerana ahli dan rakyat dahagakan perubahan terhadap parti.

“Kegagalan kita mengambil peluang yang hanya terbuka untuk sementara ini akan menyebabkan UMNO menjadi jumud dalam pentas politik.”

Menyentuh langkah pembaharuan, Khairy berkata, tambahan dua kerusi Naib Presiden menerusi lantikan kepemimpinan parti, masing-masing untuk disandang wanita dan calon Sabah akan diwujudkan.

Katanya, penambahan jawatan itu selari hasrat melonjak perwakilan wanita dalam barisan pembuat keputusan supaya mencapai kadar 30 peratus, selain memecahkan siling yang selama ini menghalang golongan ibu daripada menerajui tampuk kepemimpinan utama parti.

“Naib Presiden disandang pemimpin wanita ini berbeza daripada bidang kuasa Ketua Wanita UMNO kerana boleh merasmikan mesyuarat di peringkat bahagian dan terbabit dalam percaturan di peringkat tertinggi parti.

“Kerusi Naib Presiden khas untuk Sabah pula adalah sebagai jaminan supaya UMNO lebih inklusif dalam menerajui pembaharuan parti,” katanya. – BH

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview