UNHCR Sokong Keputusan Malaysia Beri Taraf Warganegara Kepada Orang Tidak Bernegara

KUALA LUMPUR, 15 Ogos  – Keputusan Malaysia memberikan taraf kewarganegaraan kepada orang tidak bernegara adalah langkah positif yang diambil oleh kerajaan kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam pembentukan masyarakat Malaysia.

Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Richard Towle dalam satu kenyataan hari ini berkata  Agensi Pelarian PBB mengalu-alukan pengumuman oleh kerajaan Malaysia semalam untuk mempercepatkan pemberian taraf warganegara kepada semua individu tidak bernegara yang layak di negara ini.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah untuk memenuhi komitmennya menyelesaikan isu orang tidak bernegara di kalangan masyarakat India dalam masa 100 hari kerajaan baharu memegang tampuk kuasa.

“Orang tidak bernegara mempunyai akses terhad kepada hak-hak asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan dan kebebasan bergerak. Tanpa hak-hak ini, mereka menghadapi halangan seumur hidup,” kata beliau.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa pemegang kad pengenalan merah dan berstatus pemastautin tetap berusia 60 tahun dan ke atas akan diberi taraf warganegara, dan diberi kad pengenalan biru.

Dr Mahathir berkata ini termasuk 3,407 individu dari kaum India berusia 60 tahun dan ke atas dan telah menjadi pemegang kad pengenalan merah yang akan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview