Untung Bersih Glomac Susut Kepada RM33.21 Juta Pada Tahun 2018

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Keuntungan bersih Glomac Bhd susut kepada RM33.21 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April, 2018 daripada RM109.21 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata keuntungan lebih rendah tersebut adalah susulan penyusutan perolehan sebanyak 30.7 peratus kepada RM404.72 juta, yang terutamanya disebabkan penjualan tanah sekali bagi RM145.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Bagaimanapun, pada suku keempat, syarikat merekodkan keuntungan bersih lebih kukuh iaitu RM25.52 juta berbanding RM351,000 pada tempoh sama tahun kewangan 2017, disokong oleh kemajuan pengebilan daripada jualan di perbandaran Saujana KLIA dan Saujana Perdana.

Dalam kenyataan media, Glomac berkata pihaknya merancang untuk melancarkan rangkaian produk yang lebih pelbagai pada tahun fiskal 2019 dengan anggaran keseluruhan nilai  pembangunan kasar (NPK) RM1.06 bilion.

“Tumpuan masih kepada segmen pertengahan pasaran dan mampu milik, dengan syarikat menjangkakan​​​​​​​ produk kediaman bertanah di perbandaran seperti Saujana Perdana dan Saujana Jaya di Kulai, Johor akan terus mencatatkan jualan positif,” menurut Glomac.

Syarikat itu juga akan melancarkan dua projek pangsapuri berperkhidmatan di Petaling Jaya pada tahun kewangan 2019.

Glomac berkata persekitaran pasaran kekal mencabar dan syarikat akan terus mengguna pakai pendekatan responsif dalam melaksanakan pelancaran baharu tahun kewangan 2019.

“Selain itu, lembaran imbangan syarikat kekal baik dan kedudukan tahap hutang bersih mudah urus, serta​​​​​​​ membina portfolio pembangunan berpotensi kukuh dengan NPK tersedia RM9 bilion, terutama dalam​​​​​​​ segmen pasaran massa.

“Ini meletakkan syarikat dalam kedudukan teguh untuk mempercepatkan pelancaran supaya terus memacu jualan dan keuntungan jika keadaan pasaran bertambah baik,” menurut syarikat itu. — BERNAMA

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview