Vingada Berisiko Dihukum AFC

KUALA LUMPUR: Nelo Vingada berkemungkinan berdepan tindakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan dilihat cuba untuk bersemuka dengan pengadil perlawanan, Christopher Beath selepas tamat aksi kelayakan Piala Asia, malam tadi.

Pengendali skuad Harimau Malaya itu dikatakan ‘naik angin’ dengan beberapa keputusan pengadil dari Australia berkenaan yang mengendalikan perlawanan antara Malaysia dan Hong Kong di Stadium Hang Jebat dan berkesudahan dengan keputusan 1-1.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul menegaskan masih terlalu awal untuk mengulas mengenai insiden itu.

Ia termasuklah soal membincangkan hukuman yang bakal dikenakan ke atas bekas pengendali pasukan kebangsaan Jordan itu kerana AFC perlu meneliti laporan perlawanan terlebih dulu.

“Kita perlu menunggu laporan pengadil perlawanan terlebih dulu dan sebarang laporan yang berkaitan. Jadi, saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan lebih lanjut berhubung insiden ini.

“Kita juga tidak boleh mengenakan sebarang hukuman sesuka hati tanpa laporan penuh membabitkan perlawanan itu. Jika tiada bukti (insiden itu berlaku), jadi tidak adalah hukuman yang akan dikenakan.

“Apa yang boleh saya katakan, ketika ini, kita tunggu dulu laporan perlawanan daripada pengadil,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Kontroversi tercetus pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 membabitkan Malaysia bertemu Hong Kong di Stadium Hang Jebat apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Hong Kong pada minit minit akhir perlawanan.

Insiden berlaku selepas Akram Mahinan didapati melakukan kekasaran ke atas pemain lawan di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, gawang Malaysia terselamat apabila penjaga gol kebangsaan, Hafizul Hakim melayangkan badannya ke sebelah kanan untuk menepis sepakan penalti yang diambil Alessandro Leonardo.

Keputusan perlawanan 1-1 dan membolehkan Malaysia meraih mata pertama dalam kempen kelayakan kali ini.

Namun, Vingada dilihat cuba untuk bersemuka dengan Beath sejurus wisel penamat dibunyikan tetapi sempat dihalang oleh kapten pasukan, Safiq Rahim dan barisan kejurulatihan yang lain.

Situasi tegang selepas perlawanan ‘panas’ itu memaksa Beath dan pembantu pengadil diiring keluar dari padang menuju ke bilik persalinan oleh pegawai keselamatan.

Sebagai rekod, badan induk bola sepak Asia itu pernah mengenakan penggantungan dua perlawanan ke atas jurulatih pasukan kebangsaan Bangladesh, Diego Cruciani selepas jurulatih Argentina itu cuba menyerang pengadil pada aksi Pra-Kelayakan Piala Asia 2007 membabitkan Bangladesh bertemu Pakistan pada 2006. –BeritaHarian

Berita Berkaitan