Wakil Rakyat Khianat UMNO ‘Muka Tembok’ – KPJB

JOHOR BAHRU, 2 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru hari ini melahirkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pemimpin UMNO yang bertaraf Ahli Parlimen yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, dalam tempoh beberapa hari ini kita dihidangkan dengan banyak berita mengenai tindakan pemimpin UMNO yang keluar daripada parti dengan pelbagai alasan tersendiri.

“Apa pun alasan diberikan, Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan pemimpin ini sebagai ‘muka tembok’ dan mengkhianati perjuangan parti yang mereka laungkan sebelum ini sehingga meninggalkan parti tatkala UMNO dalam tahap paling bawah ketika ini.

Mereka dipilih menerusi sistem Pilihan Raya Umum yang menyaksikan rakyat memberi undi kepada mereka hasil dana peruntukan parti yang mengangkat mereka sebagai calon. 

Tetapi kenapa perlu dikhianati kepercayaan rakyat dan parti yang membantu mereka sehingga menjadi wakil rakyat?,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru dengan tegas mencabar semua pemimpin ‘muka tembok’ ini untuk meletakkan jawatan yang dipilih menerusi sistem demokrasi Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Ini bagi membolehkan rakyat memilih semula calon wakil rakyat dan parti pilihan mereka, bukannya membiarkan diri sebagai pengkhianat menjalankan tugas dan tanggungjawab di kawasan anda.

Kepada semua, ingatlah ini adalah medan perjuangan untuk kita sama-sama memulihkan kepercayaan rakyat pada UMNO, jika anda rasa diri anda tidak mampu, berundurlah.

Jangan jadi ‘duri dalam daging’. Cukuplah UMNO ‘menderita’ dengan sikap pemimpin seperti ini,” tambahnya lagi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview