Wanita Adalah Fokus Utama Manifesto BN Johor

JOHOR  BAHRU, 8 April — Golongan wanita  merupakan antara fokus utama manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang pelancarannya dijadual pada pertengahan bulan ini.

Pengerusi BN Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata selain golongan wanita, manifesto BN Johor juga memberi fokus khusus buat masyarakat Felda, golongan orang kurang upaya dan  generasi muda.

“Antara  tawaran untuk wanita di Johor, kami akan membangunkan sebuah kompleks di kawasan Pasir Gudang dengan peruntukan daripada Perdana Menteri sebanyak RM4 juta agar segala kegiatan dan promosi hasil-hasil produk wanita dapat dipusatkan di satu kawasan.

“Kompleks itu akan menempatkan sebanyak 40 kiosk dan dijangka siap dibina dalam masa setahun  setengah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Pasir Gudang di Taman Mawar, di sini, hari ini.

Selain itu, pihaknya juga bercadang menjadikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan sebagai pusat kegiatan perniagaan khusus kepada golongan wanita. 

“Selain itu, ada perancangan untuk mengubah operasi (R&R) Pandan sebagai pusat aktiviti dan jualan produk dihasilkan golongan wanita. Kami akan meminta kerjasama kerajaan pusat selepas pilihan raya umum,” katanya.

Mohamed Khaled berkata manifesto BN peringkat negeri dan pusat sentiasa  memberi tumpuan kepada golongan ibu serta wanita bagi menggandakan usaha membantu mengupayakan mereka supaya lebih berdikari. 

Terdahulu, Mohamed Khaled berkata sehingga kini AIM telah memberi bantuan pinjaman kepada golongan wanita di negeri ini sebanyak RM154 juta.

 AIM sebagai instrumen mikro kredit ini, katanya dilihat dapat membantu dan menggalakkan golongan wanita untuk  terlibat dalam keusahawanan.

Mohamed Khaled berkata pihaknya berterima kasih atas aku janji menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Yong Peng ke Johor Bahru dalam manifesto BN yang dibentangkan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri  Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata manifesto kerajaan BN untuk memperkasakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah bertepatan dengan cabaran penguatkuasaan pada hari ini.

“Sehingga hari ini, dadah masih menjadi musuh nombor 1 negara dan manifesto BN yang diumumkan oleh Perdana Menteri bertepatan dengan cabaran sentiasa berubah yang kami hadapi kerana sekarang bukan mudah untuk kami kesan penyebaran dadah-dadah sintetik atau kimia.

“Jadi kami perlukan teknologi baharu, aset baharu, tingkatkan kemahiran tenaga kerja selain memperkasakan agensi-agensi yang kami ada seperti AADK, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Program Pemulihan Penagih Dadah bersama Komuniti (CRPD),” katanya.

Menurut Nur Jazlan, AADK selama ini telah memainkan peranan memulihkan penagih dadah berbanding menghukum mereka yang dilihat dapat mengurangkan jumlah banduan di dalam penjara.

“Kami tidak mahu penjara penuh dengan mereka yang melakukan kesalahan dadah yang kecil untuk itu kami mainkan peranan untuk pulihkan mereka,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview