Zahid Sah Terpilih Sebagai Presiden UMNO Yang Baru

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara rasmi terpilih sebagai Presiden UMNO yang baru sesi 2018-2021 setelah melepasi majoriti mudah apabils mendapat undi daripada 78 bahagian dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Manakala, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah terpilih sebagai Timbalan Presiden UMNO Malaysia apabila mendapat undi daripada 110 bahagian UMNO di seluruh negara.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di bangunan Dato Onn di sini kira-kira pukul 12 malam tadi.

Setakat malam ini, beliau mengesahkan bahawa sebanyak 78 bahagian UMNO secara rasmi telah memberikan undi kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, manakala sebanya 53 bahagian telah memberikan undi kepada Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah pula memperolehi sebanyak 28 undi.

Manakala, bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pula, Datuk Seri Mohamad Hasan memperolehi sebanyak 110 undi daripada bahagian dan pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa pula memperolehi sebanyak 47 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula menurut Tengku Adnan, hanya dua nama sahaja daoat diumumkan secara rasminya terpilih sebagai Naib Presiden UMNO, manakala satu lagi nama akan diumumkan esok.

“Untuk jawatan Naib Presiden, kita hanya boleh beri dua nama sahaja kerana tempat ketiga masih lagi turun naik pengiraannya, dan jurangnya tidak berapa jauh.

“Ada lagi 34 bahagian di mana keputusannya masih belum lagj kita sahkan. Jadi kita tidak boleh umumkan dulu pemenang di tempat ketiga bagi jawatan ini.

“Tetapi yang sudah sahih menang dalam pertandingan jawatan Naib Presiden yang tidak akan terjejas dengan undi 34 bahagian itu memberikan undi kepada calon lain ialah pertama, Datuk Seri Ismail Yaakob yang memperolehi 146 undi dan yang kedua, Datuk Seri Mahadzir Khalid sebanyak 99 undi setakat ini,” ujarnya di hadapan pemberita dalam satu sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Tambah Tengku Adnan, keputusan penuh bagi pertandingan jawatan Majlis Tertinggi UMNO ini akan disahkan keesokan hari.

“Kita akan selesaikan pengiraan undi bahagian-bahagian yang masih belum selesai pada malam ini juga.

“InsyaAllah esok kita akan mengumumkan keputusan penuh pemilihan Majlis Tertinggi UMNO termasuk senarai 25 calon-calon yang terpilih untuk jawatan Majlis Tertinggi UMNO Malaysia,” ujarnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview